SEMATAN di Sarawak terus diselubungi jerebu, semalam.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Kuala Lumpur: Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara terus berubah-ubah sejak awal minggu lalu dengan bacaan di beberapa kawasan di Sarawak mencecah tahap sangat tidak sihat.

Berdasarkan laporan dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) jam 9 pagi semalam, Kuching melepasi IPU sangat tidak sihat dengan bacaan 204, diikuti Samarahan, 200.

Bacaan terus meningkat sehingga jam 1 petang dan kembali turun ke paras tidak sihat jam 4 petang.

Begitupun, 465 sekolah di tujuh daerah di Sarawak diarah tutup sehingga notis pembukaan semula dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri.

Antara daerah terbabit ialah Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Serian dan Simunjan.

Dalam pada itu, beberapa kawasan di sekitar Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan masih mencatat bacaan IPU tidak sihat.

Shah Alam mencatat IPU 107, Banting (108), Bukit Rambai (116), Bandaraya Melaka (106), Seremban (103) dan Nilai (106).

Pahang, Terengganu, Putrajaya dan Kuala Lumpur yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat sebelum ini kembali ke paras sederhana.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 9:48 AM