PELAJAR GMI Bangi menyiapkan kandang kucing kepada Kassim di teratak mereka di Wangsa Maju.
Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: “Tiada kata dapat diungkapkan betapa saya bersyukur selepas impian kami mempunyai ‘rumah’ untuk anak bulu akhirnya menjadi kenyataan,” kata Kassim Samat, 57, penjual surah Yasin yang membela 41 kucing bersama isterinya, Rodziah Mohd Zaid, 55, di teratak daif mereka di Wangsa Maju, di sini.

Kisah pasangan ini pernah disiarkan Harian Metro pada 30 Mei lalu hingga menerima bantuan daripada beberapa pihak apabila menumpang rezeki puluhan kucing yang dikutip di tepi jalan sebagai ‘anak’ belaan.

Berikutan laporan itu, sekumpulan pelajar dari German Malaysian Institute (GMI), semalam berganding bahu menyiapkan kandang kucing untuk pasangan suami isteri itu demi keselesaan mereka.

Kassim berkata, lebih menggembirakan hatinya apabila rumah untuk anak bulu itu lebih besar daripada kediaman mereka berteduh.

“Kami tidak kisah rumah ‘anak’ lebih besar asalkan mereka selesa untuk bermain, biarlah mereka lebih selesa berbanding kami,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Menurutnya, sudah tiga kali dia ditipu orang sebelum ini, namun bersyukur berikutan usaha murni 17 anak muda itu akhirnya mampu melegakan hatinya.

“Sebenarnya saya sudah berputus asa sebelum ini berikutan wang simpanan hasil menjual surah Yasin lesap apabila ditipu orang yang kononnya mahu membuat kandang kucing kami.

“Bagaimanapun, penantian kami akhirnya berbaloi apabila dapat memiliki kandang kucing yang besar tanpa mengeluarkan wang, terima kasih kepada 17 anak muda berkenaan,” katanya.

Sementara itu, wakil pelajar Kelab Sistem Penggodam Komputer Beretika GMI, Bangi, Muhammad Amri Ayob, 21, berkata, itu adalah tanggungjawab sosial korporat kelab berkenaan untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Ini hanya usaha kecil kami membantu pasangan suami isteri berkenaan demi keselesaan mereka.

“Malah, tidak dapat diungkapkan perasaan bangga dapat menyiapkan kandang berkenaan dalam tempoh lapan jam dengan keluasan lapan meter persegi,” katanya.

Menurutnya, dia turut mengucapkan terima kasih kepada akhbar ini yang menyiarkan kisah daif pasangan suami isteri itu untuk tatapan pembaca.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 5:50 AM