KEADAAN rumah mangsa ribut di Kampung Bukit Merah.

Bagan Serai: “Kami lima beranak sedang berehat di ruang tamu sebelum terkejut apabila mendengar dentuman kuat dan sekelip mata bumbung rumah diterbangkan angin menyebabkan kami berpelukan ketakutan,” kata Sazali Mohamad Bakri, 47, antara mangsa ribut di Kampung Batu 4 1/2, Jalan Bukit Merah, Gunung Semanggol, di sini, petang kelmarin.

Menurut Sazali, dalam kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang, dia bersama isteri dan tiga anak terpaksa berlindung di bilik tidur utama selepas ribut menerbangkan hampir semua bumbung di ruang tamu serta bimbang kayu alang rumah menimpa mereka sekeluarga.

“Selepas ribut reda, saya bersama isteri dan anak-anak meninjau keadaan dapur dan terkejut mendapati sebahagian besar bumbung rumah habis diterbangkan ribut.

“Tiga lagi rumah di kampung ini turut terjejas kerana hampir keseluruhan bumbung diterbangkan angin,” katanya yang ditemui selepas dikunjungi Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 5:57 AM