Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Jabatan Perkhidmatan Veterinar menempah 50,000 vaksin anjing gila atau rabies bagi mengawal wabak terbabit yang melanda wilayah utara.

Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Dr Kamarudin Md Isa berkata, bahan berkenaan ditempah dari Perancis yang menghasilkan formula berkenaan.

“Pembelian ini bukan menunjukkan kita mengalami wabak yang serius kerana Malaysia bukanlah negara yang dikategorikan negara anjing gila.

“Bekalan sedia ada mencukupi tetapi kita mahu menambah bekalan untuk persiapan sebarang kemungkinan, selain menambah bekalan sedia ada dan dijangkakan diperoleh dalam tempoh seminggu,” katanya.

Beliau bercakap selepas Majlis Perasmian Ekspo dan Forum Haiwan Ternakan Asia 2015 anjuran UBM Asia Ltd di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Sehingga kini, 34 sampel otak anjing liar diambil untuk pengesahan penyakit berkenaan.

Daripada jumlah berkenaan, 17 sampel didapati positif penyakit rabies membabitkan lokasi di Kodiang, Padang Sera, Jitra, Bukit Kayu Hitam, Changlun, Sanglang, Anak Bukit dan Bukit Pinang.

Perlis, Kedah dan Pulau Pinang diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan wabak anjing gila minggu lalu.

Sementara itu, Dr Kamarudin berkata, semua pemilik anjing diminta mengurung anjing masing-masing di rumah supaya wabak terbabit tidak merebak.

“Masalah ini tidaklah serius, tetapi ia diambil perhatian supaya wabak yang tersebar dari negara jiran tidak merebak ke negeri lain. Buat masa ini, wilayah utara saja yang disahkan.

“Penyakit terbabit tidaklah merisaukan, tetapi apabila anjing terbabit menggigit manusia, ia perlu diberi perhatian serius seperti nyamuk, ia hanya binatang tetapi apabila ia menyebarkan denggi kepada manusia ia serius,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar hanya melupuskan anjing yang didapati positif wabak penyakit berkenaan.

Ditanya mengenai dakwaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempertikaikan penangkapan anjing liar beliau berkata, kaedah menangkap cara terbaik bagi mengawal penyebaran wabak terbabit dalam kalangan anjing liar.

“Tindakan terbabit perlu dilakukan dan sesudah itu, semua yang ditangkap akan divaksinkan atau dihapuskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 5:03 AM