PASUKAN penyelamat bersiap sedia ke lokasi pencarian.
Oleh Maiamalina Mohamed Amin

Kota Bharu: Semalam genap 30 hari tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Gua Musang ghaib dengan kehilangan mereka itu menimbulkan tanda tanya apabila tiada sebarang jejak ditinggalkan hingga kini.

Kali terakhir mereka dilihat pembantu pengurusan murid sekolah itu pagi Ahad, 23 Ogos ketika masing-masing bersarapan sebelum sesi persekolahan bermula.

Kemudian, kelibat Mirsudiar Aluj, 11, Noreen Yaakob, 10, Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Haikal Yaakob, 8, Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7, hilang bersama 16 murid lain yang berpakat melarikan diri kerana takut dimarahi guru akibat mandi sungai.

Mereka dipercayai mahu pulang ke rumah masing-masing di Kampung Gawin dan Penad yang terletak antara 25 dan 40 kilometer (KM) dari Pos Tohoi.

Namun, 16 murid berusia antara 10 dan 14 tahun yang menjadi perancang ‘projek melarikan diri’ itu ditahan pengurusan sekolah ketika berlegar di bukit belakang asrama penginapan.

Malangnya, semua mangsa yang masih belajar dalam tahun satu, dua dan tiga itu pula ‘tertinggal’ di dalam hutan dipercayai tanpa bekalan makanan yang cukup, malah tidak berpakaian lengkap sekolah.

Sebelum laporan polis dibuat jam 2 pagi, 25 Ogos lalu, pengurusan sekolah dan penduduk Kampung Tohoi serta ibu bapa murid terbabit berusaha mencari mangsa, tetapi tidak menemui mereka.

Hingga kini, lebih 300 petugas keselamatan terbabit menggerakkan operasi Ops TH7 itu termasuk pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Tidak terkecuali Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta merangkumi masyarakat Orang Asli sendiri.

Difahamkan, jumlah petugas itu antara teramai pernah digunakan untuk misi mencari dan menyelamat (SAR) orang hilang di Gua Musang sejak enam tahun kebelakangan ini dengan aset digunakan juga berganda daripada pencarian biasa.

Malah, Komander Operasi yang juga Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Saiful Bahri Abdullah pernah memaklumkan kepada saya Ops TH7 operasi paling lama pernah dikendalikan sepanjang beliau berkhidmat di Gua Musang.

“Saya berada di Gua Musang hampir enam tahun dan ini operasi SAR orang hilang paling lama dan berat kerana babitkan tujuh murid sekali gus.

“Kita masih berusaha mencari kerana petunjuk yang ada setakat ini langsung tidak dapat dikaitkan dengan kehilangan mereka. Dan itu juga lebih merumitkan operasi ini,” katanya.

Sebelum ini, pada hari ke-10 pencarian, petugas SAR menemui stokin putih bertapak hitam yang dipercayai milik seorang murid hilang, namun ia ditolak apabila pengesahan dibuat pihak sekolah bahawa murid terbabit berpakaian biasa ketika menghilangkan diri.

Mereka juga meninggalkan semua kelengkapan sekolah termasuk beg, buku, pakaian dan kasut sekolah di ruang asrama masing-masing.

Tiga tapak kaki menghala ke arah Pos Tohoi turut ditemui petugas di lokasi berhampiran stokin ditemui, beberapa hari selepas itu. Malangnya petunjuk itu juga tidak jelas apabila mempunyai tapak kaki orang dewasa.

Sejak itu, tiada lagi petunjuk ‘sebenar-benarnya’ ditemui walaupun pasukan ATM berkampung di kawasan seluas 80 kilometer persegi Hutan Rizab Balah untuk menjejaki mangsa.

Dakwaan murid dilarikan pihak tertentu keluar dari kawasan hutan juga sukar dikaitkan kerana menurut Saiful Bahri, pihaknya mengadakan sekatan jalan raya di seluruh Gua Musang secara berterusan pada hari pertama operasi berlangsung.

“Kita juga dapatkan pertolongan pembalak dan selongkar semua rumah kongsi, tapi tidak temui apa-apa. Kalau dibawa lari atau culik atau unsur jenayah lain, sudah pasti ada klu.

“Malangnya siasatan ke arah itu juga tiada penemuan konkrit. Ikhtiar fizikal kita capai tahap 100 peratus. Kini bergantung kepada ikhtiar ‘spiritual’ pula,” katanya.

Tidak dinafikan masyarakat Orang Asli yang masih mempercayai pawang dan bomoh ada melakukan tilikan dan lebih 40 golongan itu tampil membantu, malangnya tiada yang mampu memberi petunjuk jelas.

Beliau berkata, setakat ini, belum ada kata putus daripada pihak atasan sama ada operasi berkenaan akan dihentikan dalam masa terdekat atau tidak, terutama menjelang Hari Raya Aidiladha pada Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 5:09 AM