ANJING berkeliaran di pintu masuk kedai bebas cukai membimbangkan penduduk membeli-belah.

Bukit Kayu Hitam: Orang ramai yang mengunjungi sempadan Malaysia-Thailand bimbang dengan kehadiran puluhan anjing liar disyaki dari negara jiran yang berkeliaran terutama di sekitar Kompleks Bebas Cukai (KBC), di sini, sejak kebelakangan ini.

Difahamkan, jumlah anjing liar semakin bertambah hampir setiap hari dipercayai menyelinap masuk melalui pagar sempadan, di sini.

Peniaga, Anuar Ismail, 45, berkata, kehadiran anjing liar itu lebih banyak pada waktu petang dan ia berehat serta tidur di kawasan pondok berhampiran kaunter tiket untuk masuk ke kompleks KBC sekali gus dibimbangi mengundang bahaya berikutan penularan wabak rabies di negara ini.

“Sikap sesetengah pelancong sering memberi lebihan makanan kepada anjing liar menyebabkan haiwan itu semakin banyak, malah ada yang turut membiak menjadikan jumlahnya terus bertambah.

“Saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera menangani masalah ini kerana bimbang wabak rabies akan terus merebak jika tidak dibendung,” katanya.

Pelancong tempatan, Siti Hawa Abdul Hamid, 36, berkata, jumlah anjing liar yang banyak berhampiran kawasan pagar sempadan menyebabkan ramai bimbang digigit.

Katanya, anjing itu dibimbangi membawa penyakit rabies yang boleh mendatangkan kesan kepada manusia.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, sehingga Sabtu lalu, pihaknya menerima 18 laporan berhubung kejadian gigitan anjing di negeri ini.

Beliau berkata, antara kes yang direkodkan adalah dua di daerah Kota Setar, Kuala Muda (tiga), Kulim (tiga), Kubang Pasu (enam), masing-masing satu kes di Padang Terap dan Bandar Baharu serta Langkawi (dua).

“Sebelum ini, seorang wanita berusia 53 tahun dari Kota Setar digigit anjing peliharaannya yang disahkan menghidap penyakit rabies pada 11 September lalu.

“Hasil siasatan mendapati wanita itu mengesahkan suaminya berusia 53 tahun turut digigit anjing sama pada 7 September lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 4:52 AM