DARI kiri Dr Zaini, Idris dan Dr Rujhan dalam sidang media mengenai Dasar Pindah Kredit.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) memperkenalkan Dasar Pindah Kredit bagi memberi peluang kepada pelajar Malaysia di luar negara yang terkesan dengan kejatuhan nilai ringgit menyambung baki pengajian masing-masing di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan di negara ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, dasar itu diperkenal selepas KPT menerima banyak pertanyaan daripada ibu bapa yang menyuarakan hasrat untuk menempatkan anak masing-masing di IPT tempatan berikutan kos pengajian yang semakin meningkat.

Beliau berkata, dasar berkenaan diperkenal selaras keprihatinan dan saranan KPT terhadap isu dihadapi pelajar di luar negara akibat keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kejatuhan nilai ringgit.

“MQA menyokong aspirasi kementerian dalam membantu pelajar menangani situasi ini. Bagaimanapun, Dasar Pindah Kredit ini hanya memberi pengiktirafan sekiranya wujud kesetaraan hasil pembelajaran, aras dan kedalaman ilmu bidang dan kemahiran atau kompetensi dan nilai kredit serta gred lulus pengajian terdahulu.

“Selain itu, dasar ini membolehkan pelajar Malaysia yang belajar di luar negara menyambung pengajian mereka di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan melalui pemindahan kredit secara horizontal iaitu kaedah pindah kredit daripada program di tahap kelayakan yang sama seperti program ijazah sarjana muda ke program ijazah sarjana muda,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPT Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Ketua Pegawai Eksekutif MQA Datuk Prof Dr Rujhan Mustafa.

Katanya, pemindahan kredit itu dilaksanakan secara pemetaan kursus IPT tempatan dan pelajar juga perlu memenuhi beberapa syarat utama iaitu gred minimum yang diperoleh pelajar adalah gred C bagi kursus itu, nilai kredit kursus yang sama, keserataan kurikulum tidak kurang 80 peratus.

Idris berkata, KPT dan MQA juga bersetuju memberi kuasa penuh kepada Senat IPT melakukan pemetaan kursus dan menentukan tempat pelajar yang memohon mengikuti dasar itu.

Menurutnya, dasar berkenaan tidak akan mengganggu pelajaran penuntut berkenaan memandangkan kebanyakan subjek yang di ajar di IPT luar negara kini boleh diikuti di Malaysia.

Buat masa ini, 80,000 pelajar Malaysia menuntut di luar negara iaitu 20,000 di Australia, 11,000 menuntut di United Kingdom, 8,000 pelajar di Amerika Syarikat dan selebihnya di beberapa negara lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 5:12 AM