Oleh Fuad Hadinata Yaacob dan Ayusliza Azizan

Shah Alam: Polis kini giat mengesan tiga suspek yang disyaki terbabit dalam lumba haram di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) awal pagi kelmarin, sebelum video kemalangan membabitkan mereka tersebar meluas di media sosial.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, dalam kejadian itu, lima ‘mat rempit’ dipercayai berlumba sebelum terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Proton Exora.

“Kemalangan itu bagaimanapun mengakibatkan mereka terjatuh dan menyebabkan dua daripadanya mengalami kecederaan.

“Dua daripada ‘mat rempit’ berusia 26 dan 27 tahun itu dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Seorang daripada mereka patah kaki manakala seorang lagi sudah dibenarkan keluar hospital semalam,” katanya.

Shafien berkata, polis akan mengambil keterangan dua ‘mat rempit’ itu untuk mengesan tiga lagi rakan mereka yang masih bebas.

Beliau berkata, walaupun kejadian itu menjadi viral di laman sosial, polis hanya menerima laporan berhubung kemalangan itu daripada pemandu Proton Exora di Balai Polis Trafik Klang Selatan petang kelmarin, sebelum dirujuk ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam.

Menurutnya, polis menafikan ada kematian dalam kemalangan itu seperti yang tersebar di laman sosial.

Dalam perkembangan lain, Shafien berkata, 26 lelaki ditahan berhubung insiden rusuhan ketika perlawanan Malaysia menentang Arab Saudi, baru-baru ini.

Menurutnya, empat daripada mereka akan dituduh di Mahkamah Majistret Shah Alam Isnin ini, atas kesalahan melakukan rusuhan.

Dalam insiden itu, suar, mercun dan bom asap serta pelbagai objek termasuk kerusi dicabut dibaling ke padang ketika perlawanan berlangsung menyebabkan ia dihentikan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini terhadap pemain berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 5:20 AM