Putrajaya: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesan sebanyak 3,397 kes pembakaran terbuka di seluruh negara setakat kelmarin.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembakaran itu membabitkan kawasan hutan sebanyak 589 kes; kawasan pertanian (1185); kawasan industri (19); kawasan pembinaan (67); tapak pelupusan sampah (94); kawasan belukar (680) dan lain-lain pembakaran terbuka kecil sebanyak 763 kes.

Beliau berkata, bagi tindakan penguatkuasaan untuk tempoh sama, sebanyak 216 kes pembakaran terbuka dikenakan tindakan kompaun; 15 kes dikeluarkan Notis Arahan dan 41 kesdikeluarkan Surat Arahan.

“Selain itu, sebanyak 18 kes pembakaran terbuka disediakan kertas siasatan untuk didakwa di mahkamah.

“Selain itu, bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkodkan pada jam 12 tengah hari tadi (semalam) merekodkan sebanyak 13 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik; 31 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana dan tujuh kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.

Katanya, tujuh kawasan mencatatkan bacaan IPU tahap tidak sihat itu adalah Samarahan, Sarawak (IPU 186); Kuching, Sarawak (IPU 161); Sri Aman, Sarawak (IPU 133); Tawau, Sabah (IPU 116); Bukit Rambai, Melaka (IPU 106); Bandar raya Melaka (IPU 104) dan Sarikei, Sarawak (101).

Wan Junaidi berkata, keadaan berjerebu kembali melanda di beberapa kawasan di barat Sarawak dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia setakat jam 12 tengah hari semalam.

Menurutnya, ia disebabkan oleh jerebu merentas sempadan dari Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.

“Orang ramai boleh mendapatkan bacaan IPU terkini setiap jam di laman web JAS iaitu http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar rasmi MyIPU di ‘Google Play’ atau ‘App Store’,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 5:41 AM