ORANG ramai membanjiri kaunter tiket di TBS untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, semalam.
Oleh Norizuan Shamsuddin dan Nurul Aiman Zainal Isa

Kuala Lumpur: Kerinduan terhadap kampung halaman seakan menggamit hati warga kota untuk pulang bertemu keluarga tercinta terutama pada sambutan Aidiladha hari ini.

Suasana itu dapat dirasai melalui tinjauan Harian Metro di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan sehari sebelum sambutan itu semalam.

Tinjauan mendapati ramai penghuni kota yang mula merancang perjalanan untuk pulang bertemu keluarga di kampung halaman.

Seorang pelajar, Mohd Dafizam Dahanang, 21, ketika ditemui melahirkan rasa gembira kerana dapat pulang bertemu keluarganya selepas hampir dua bulan tidak pulang.

Dia yang belajar di Asia Metropolitan University, di sini merancang perjalanan dengan membeli tiket awal iaitu sejak sebulan lalu.

Katanya, dia bersyukur kerana sempat mendapatkan tiket walaupun ramai yang merancang untuk pulang.

“Saya mendapat cuti selama seminggu dan ini adalah peluang berharga untuk saya melepaskan kerinduan kepada keluarga apabila dapat bertemu ibu bapa serta adik-beradik yang pulang ke kampung menyambut hari raya bersama.

“Suasana sambutan Aidiladha di Terengganu sangat meriah dan kebiasaannya saya dan keluarga akan solat raya dan ke tempat korban. Selepas itu kami tidak lepaskan peluang untuk menziarahi saudara mara terdekat,” katanya ketika ditemui semalam.

Turut berkongsi kegembiraan adalah seorang suri rumah, Saleha Ibrahim, 58, yang sudah membeli tiket kereta api antara bandar dari Sungai Petani ke Kuala Lumpur sejak dua minggu lalu.

Katanya, ketika itu cuma tinggal tiket untuk kerusi kelas dua saja, manakala yang lain sudah habis dijual.

“Saya bertolak dari Sungai Petani malam tadi (kelmarin) sebelum tiba di KL Sentral pada jam 6 pagi dan meneruskan perjalanan ke Terminal Bersepadu Selatan dan berasa sangat bersyukur kerana masih terdapat tiket untuk ke Muar, Johor pada jam 1.30 petang ini (semalam).

“Saya pulang berseorangan kerana suami saya menghidap penyakit buah pinggang dan perlu melakukan dialisis tiga kali seminggu jadi sukar untuk dia bergerak. Anak-anak pula mempunyai urusan kerja dan ada yang perlu menemani ayah mereka di rumah.

“Bagaimanapun, saya rasa gembira dan teruja untuk pulang ke kampung bertemu adik-beradik dan saudara selepas dua tahun tidak pulang menemui mereka. Kebiasaannya kami akan berkumpul beramai-ramai dan mengagihkan daging korban di kawasan perumahan di sana,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Operasi TBS, Faiza Redza Redzuan turut memuji tindakan membeli tiket awal yang dilakukan oleh orang ramai.

Katanya, pengguna mula mendapatkan tiket sejak awal September lalu di kaunter TBS bagi perjalanan pergi dan balik untuk perayaan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 6:05 AM