NORBAIZURA (kanan),  Norhaizan (kiri) dan Hariyanti  melihat foto ibunya, Rusiah sebelum berlepas ke Makkah.
NORBAIZURA (kanan), Norhaizan (kiri) dan Hariyanti melihat foto ibunya, Rusiah sebelum berlepas ke Makkah.
Oleh Farah Suhaidah Othman

Ipoh: “Saya rindukan teguran dan teriak emak di pagi raya. Setiap kali melintasi biliknya, saya akan menjenguk seolah-olah mengharapkan emak ada di situ,” kata anak bongsu Allahyarham Rusiah Suar, 56, seorang daripada tujuh jemaah haji Malaysia yang terkorban dalam kejadian kren tumbang di Masjidilharam pada 11 September lalu.

Norbaizura Ahmad Badri, 27, berkata, sambutan Aidiladha tahun ini ala kadar saja disebabkan seluruh ahli keluarga masih bersedih dengan peristiwa menimpa ibu mereka.

Katanya, bagi menghilangkan rasa sedih serta kerinduan, dia akan masuk bilik ibunya setiap hari untuk melihat pakaian serta barangan peribadi milik Rusiah.

“Emak adalah orang yang paling bising pada pagi raya kerana sentiasa menegur supaya membantunya menyediakan juadah hari raya untuk dimakan selepas pulang dari solat sunat.

“Kami sekeluarga rindukan mulut bising emak dan bebelannya tidak akan dapat didengar lagi sampai bila-bila,” katanya yang ditemui di kediamannya di FELDA Gunung Besout 2, semalam.

Anak kedua Rusiah, Norhaizan Ahmad Badri, 34, berkata, arwah rajin memasak dan mereka akan merindui masakan rendang daging hitam yang menjadi masakan istimewa ibu di pagi raya.

“Kalau tidak, kami akan membantu emak di dapur pada malam raya, namun untuk kali ini kami buntu kerana perasaan sedih serta duka masih bermain di benak hati kami.

“Pagi ini (semalam), kami masak juadah sama seperti emak masak, namun rasanya tidak sama kerana air tangan emak tiada bandingannya,” katanya.

Allahyarham Rusiah meninggalkan tiga anak iaitu Norhaizan, Hariyanti, 31, dan Norbaizura selain seorang anak tiri, Khairulnizam Badri, 44, serta enam cucu.

Sementara itu, Hariyanti berkata, dia bersyukur kerana jenazah ibunya dijumpai dan dikebumikan di kota suci Makkah.

“Dalam hati ini teringin sangat hendak tengok kubur arwah, namun memandangkan arwah disemadikan jauh hanya doa dan gambar menjadi pengubat rindu. Saya dan adik beradik reda dengan pemergiannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 6:18 AM