KEADAAN pokok yang tumbang menghempap kereta yang diparkir.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: “Saya bernasib baik kerana pada kebiasaan, saya selalu meletakkan kereta di kawasan itu, mujur pada hari ini (semalam) anak saya menghantar saya pergi membuka gerai, jika tidak sudah tentu kereta saya dihempap pokok,” kata Shamsibah Pangraya, 51, saksi kejadian pokok tumbang di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru, di sini, semalam.

Menurut peniaga nasi lemak itu, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, orang ramai yang sedang menikmati juadah makan tengah hari gempar apabila dikejutkan dengan kejadian pokok tumbang yang menghempap lapan kenderaan.

Katanya, dalam kejadian itu, bumbung gerainya turut ditimpa serpihan dahan pokok yang dipercayai tumbang kerana akarnya sudah reput.

“Dalam kejadian itu orang ramai tengah makan, mereka terpaksa beralih kepada kawasan yang lebih selamat selepas pokok itu secara tiba-tiba tumbang dan menghempap tujuh kereta dan sebuah lori,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro.

Bagaimanapun tiada pelanggan mahupun orang awam yang cedera dalam kejadian berkenaan.

Menurutnya, sepanjang 15 tahun berniaga di kawasan berkenaan kejadian seumpama itu adalah yang pertama berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2015 @ 6:05 AM