Kuala Lumpur: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berkata ia komited untuk terus menyediakan maklum balas kepada Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membantu bekas Perdana Menteri itu mengingati kembali jawapan berasaskan fakta yang diberikan sebelum ini.

1MDB berkata, Dr Mahathir “terus mengguna dan mengitar semula dakwaan basi dan tidak terbukti yang dibuktikan salah berulang kali.”

“Sebagai contoh, sebelum ini Dr Mahathir mendakwa sejumlah RM42 bilion lesap daripada 1MDB. Sekarang beliau mendakwa ‘lebih RM20 bilion tidak dapat dikesan atau diambil kira.

“Untuk kebaikan Dr Mahathir, satu pecahan menyeluruh akan bagaimana 1MDB menggunakan hutang RM42 bilion itu – berasaskan penyata kewangan yang diaudit syarikat – boleh dilihat menerusi http://1mdb.com.my/
press-release/rm42-billion-all-accounted-for,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan 1MDB susulan catatan berkaitan 1MDB oleh bekas pemimpin politik berkenaan yang dipapar menerusi laman blog beliau pada 25 September.

“Berhubung tanah 1MDB, dengan mudahnya Dr Mahathir lupa bahawa 1MDB dimiliki 100 peratus oleh kerajaan Malaysia, justeru sebarang peningkatan nilai akan memberi manfaat secara langsung hanya kepada kerajaan.

“Selain memetik sebut harga tanah yang jauh lebih rendah pada RM3,000 satu kaki persegi sekarang (berbanding RM7,000 sekaki persegi dalam dakwaan beliau sebelum ini), Dr Mahathir lupa untuk mengakui bahawa 1MDB membuat komitmen sebanyak RM3 bilion bagi pembangunan infrastruktur di TRX.

“Ini menyamai sekitar RM1,500 perbelanjaan infrastruktur untuk satu kaki persegi, dibayar oleh 1MDB dan seterusnya diperoleh semula menerusi penjualan tanah,” kata 1MDB.

Ia berkata, Dr Mahathir turut mengulangi dakwaan lama bahawa 1MDB memindahkan dana ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Beliau sedar, pada 3 Ogos 2015 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang juga badan bebas, mengesahkan secara jelas bahawa dana itu daripada penderma swasta, bukan daripada 1MDB.

“1MDB kesal dengan Dr Mahathir yang sentiasa lupa pada fakta, bukan saja daripada 1MDB tetapi juga daripada agensi bebas dan dihormati seperti SPRM,” kata 1MDB.

– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 5:04 AM
Digital NSTP Subscribe