Serian: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar tindakan pihak tertentu yang cuba mengheret masyarakat dalam kemelut yang boleh mencetuskan ketidaktenteraman awam di negara ini.

Menurutnya, tindakan provokatif dalam masyarakat dengan sentimen perlu ditolak walaupun ia dicetuskan ‘rakan’ dalam kalangan parti kerajaan sendiri.

“Masyarakat harus menghormati undang-undang dan serah kepada polis untuk penguatkuasaan tanpa mengira kawan atau saudara.

“Saya tidak akan mempertahankan sesiapa yang melanggar undang-undang. Walaupun individu yang disiasat itu adalah rakan dari parti sama, biarkan polis menjalankan siasatan mengikut proses undang-undang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot, Timbalan Menteri Dalam Negeri Masir Kujat dan Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Ahmad Zahid berkata, walaupun beliau mempunyai kuasa terhadap polis selaku Menteri Dalam Negeri, namun sama sekali tidak akan campur tangan dalam siasatan membabitkan isu yang boleh mencetuskan ketidaktenteraman awam.

“Kita serahkan siasatan kepada polis, ini kerana mereka yang lebih tahu. Negara ini mempunyai undang-undang dan ia adalah keutamaan, malah perlu dihormati,” katanya

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan hasutan kumpulan tertentu yang cuba menggunakan demonstrasi jalanan dan perhimpunan haram untuk menghina dan memburukkan kerajaan.

Menurutnya, ada landasan yang lebih baik untuk menyuarakan pendapat, ia tidak perlu dilakukan melalui demonstrasi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 5:32 AM