Butterworth: Kementerian Kesihatan bimbang peningkatan pesakit yang mendapatkan rawatan bagi penyakit asma, radang paru-paru, sakit mata dan kulit berikutan keadaan jerebu yang melanda negara.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata, keadaan itu dilihat selepas meneliti laporan pihak hospital dan klinik kerajaan di seluruh negara.

Beliau berkata, negeri yang direkodkan terjejas teruk dilanda jerebu, antaranya Selangor, Pahang, Johor dan Melaka.

“Melalui laporan itu, kita menjangkakan berlaku peningkatan pesakit mengalami asma, radang paru-paru atau masalah pernafasan, sakit mata dan kulit dari semasa ke semasa.

“Bagaimanapun, kita menasihatkan orang awam terutama pesakit dalam empat kategori ini mengambil langkah sewajarnya dengan mengenakan topeng penutup mulut, minum banyak air dan kurang menjalani aktiviti luar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Saintifik Saintifik Persatuan Perubatan Islam Malaysia ke-17 di Prai, semalam.

Seramai 400 peserta terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan pakar perubatan tempatan dan luar negara menghadiri persidangan dalam mengembangkan lagi pengetahuan berhubung hal kecemasan ketika bencana.

Dalam perkembangan lain, Dr Hilmi berkata, hospital dan klinik diwajibkan memaklumkan terus kepada pejabat kesihatan terdekat jika terdapat pesakit yang menerima rawatan bagi kes gigitan anjing gila atau rabies.

Menurutnya, ia bagi membolehkan maklumat itu disalurkan ke Jabatan Veterinar segera, sekali gus mempercepatkan usaha penangkapan anjing liar berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 9:37 AM