Paul (kiri) menunjukkan rokok seludup dan bot yang dirampas dalam serbuan di Jeti Nelayan Sungai Sanglang.
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor membanteras kegiatan penyeludupan rokok dengan merampas 15,400 kotak barangan itu yang dianggar bernilai RM143,851 dalam serbuan di Jeti Nelayan Sungai Sanglang dekat Pontian, pagi semalam.

Dalam serbuan jam 1.50 pagi itu, PPM Wilayah Dua turut merampas bot dan Toyota Estima.

Komander PPM Wilayah Dua Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, polis yang melakukan intipan mendapati beberapa individu memunggah kotak dipercayai rokok seludup dari bot ke kenderaan terbabit.

Bagaimanapun, katanya, selepas menyedari kehadiran polis, empat lelaki itu melarikan diri ke hutan paya bakau berhampiran.

“Usaha mengesan di sekitar hutan gagal memandangkan kawasan itui terpencil.

“Kita dalam usaha mengenal pasti suspek dan menjejaki mereka,” katanya pada sidang media di Markas PPM Wilayah Dua di Tampoi, di sini, semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas muatan bot pula mendapati terdapat 15,400 kotak rokok seludup pelbagai jenama.

Katanya, keseluruhan jumlah rampasan termasuk bot, enjin sangkut dan MPV mencecah RM313,851.60.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana menyeludup barang bercukai.

Sementara itu, Paul berkata, pada tahun ini, pihaknya melakukan 53 rampasan rokok dengan nilai lebih RM3.31 juta termasuk cukai.

“Kita juga merampas empat bot laju, lima enjin sangkut serta 12 kenderaan bernilai RM416,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 11:03 AM