Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Vakum sudah, urut sudah, makanan tambahan pun sudah dan kegilaan terkini golongan lelaki adalah mendapatkan suntikan bagi kemaluan mereka supaya membesar biarpun teknik itu adalah prosedur haram yang tiada dalam amalan perubatan.

Segelintir lelaki juga sanggup menyuntik sendiri selepas mendapatkan bahan suntikan haram itu menerusi ejen di Internet dan tanpa pentauliahan perubatan.

Lebih mengejutkan, ada individu yang mengambil suntikan itu hanya belajar kaedah suntikan di Internet tanpa mendapatkan nasihat pakar perubatan berkaitan.

Difahamkan, suntikan untuk membesarkan alat kelamin boleh diperoleh dengan harga antara RM200 sehingga RM1,500 bergantung kepada tempoh tindak balas terhadap kemaluan pengambilnya.

Pendedahan itu dibuat Pakar Sakit Tuan Dr Ismail Thamby yang menerima ratusan aduan berhubung kes suntikan pembesaran zakar termasuk ada pesakit yang merujuk kepadanya untuk menerima rawatan.

Menurutnya, suntikan dibuat pada bawah kulit alat kelamin dan ia merangsang pertumbuhan tisu, sekali gus membesarkan saiz kemaluan.

“Suntikan berkenaan mengakibatkan tindak balas pada tisu kulit zakar dan bahan suntikan terbabit merangsang tisu alat kelamin untuk membiak secara tidak normal.

“Berdasarkan aduan diterima, beberapa individu tertentu bertindak sebagai ejen menjual suntikan itu dan mereka tidak ditauliahkan pengetahuan berhubung perubatan,” katanya ketika ditemui, di sini.

Dr Ismail berkata, ia adalah prosedur haram kerana pesakit tidak mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan dan mengambil suntikan sesuka hati sehingga mengakibatkan kesan lain.

“Ini adalah gejala baru bagi golongan lelaki di negara ini. Mereka ghairah untuk mempunyai alat kelamin bersaiz besar sehingga tidak memandang serius faktor kesihatan.

“Ada beberapa kaedah rawatan seperti pengambilan ubat tertentu serta menjalani pembedahan, namun prosedur rawatan itu tidak mampu memulihkan 100 peratus tisu zakar yang disuntik,” katanya.

Dr Ismail berkata, jika pesakit yang mengambil suntikan ini berjumpa doktor pada peringkat awal, kaedah rawatan digunakan adalah pengambilan ubat bagi menghentikan pembiakan tisu secara tidak normal.

Bagaimanapun, katanya, bagi pesakit yang lambat mendapatkan rawatan, prosedur yang boleh dilakukan adalah pembedahan dengan membuang tisu kulit zakar yang membiak.

Menurutnya, kaedah rawatan itu tidak mampu memulihkan sepenuhnya tisu zakar, hanya 80 sehingga 90 peratus tisu zakar boleh dikeluarkan menerusi pembedahan itu.

“Proses pembesaran alat kelamin perlu mendapatkan nasihat pakar dan tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil sesuatu ubat atau produk tanpa pengesahan doktor.

“Saya nasihatkan masyarakat umum supaya tidak sewenang-wenangnya mengambil sesuatu ubat tanpa nasihat doktor kerana ia mungkin memudaratkan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, jika ada individu di luar sana yang mendapatkan suntikan ini, mereka perlu mendapatkan nasihat pakar secepat mungkin bagi mengelakkan sebarang implikasi kesihatan dalam tempoh panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:14 AM