MANGSA maut di tempat kejadian selepas terbabas di Jalan Tuaku Abdul Halim, disini, awal pagi semalam.

Kuala Lumpur: Seorang penunggang motosikal maut sejurus terbabas dan melanggar penghadang jalan di Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, hingga mengakibatkan topi keledar dipakai pecah.

Dalam kejadian jam 1.45 pagi semalam, mangsa, Muhammad Izzuddin Ilias, 22, dalam perjalanan dari sebuah restoran di Sungai Buloh ke rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini.

Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 125z terbabas di selekoh tajam sebelum melanggar penghadang jalan.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markandan berkata, mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa gagal mengawal motosikal yang ditunggangnya dan terjatuh.

“Sebaik mangsa terjatuh, sebuah lagi motosikal dari arah sama gagal mengelak motosikal mangsa dan melanggar motosikal itu.

“Penunggang motosikal itu mengalami cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumur (HKL),” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 5:57 AM