Sepang: Satu mesyuarat membabitkan tiga menteri pengangkutan dari Malaysia, China dan Australia akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi memperincikan usaha dan hala tuju pencarian bangkai pesawat MH370.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, beliau sedang bekerjasama dengan Menteri Pengangkutan China dan Australia bagi menetapkan tarikh mesyuarat berkenaan, namun masih bergantung kepada masa dan keadaan mereka.

Beliau berkata, secara dasarnya, ketiga-tiga negara berkenaan masih komited dalam pencarian MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi sehingga tahun depan.

“Pada 29 September lalu, Malaysia, Australia dan China bermesyuarat di Beijing bagi membincangkan operasi pencarian yang giat dijalankan bagi mengesan pesawat Boeing 777 itu sebagai susulan kepada mesyuarat di Canberra pada awal bulan itu (September),” katanya.

Beliau ditemui di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus menyambut ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada lawatan kerja di luar negara.

Azharuddin berkata, mesyuarat berkenaan dihadiri pegawai Kementerian Pengangkutan dan Hal Ehwal Luar China, pegawai Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) serta wakil Kementerian Pengangkutan Malaysia, DCA dan jawatankuasa waris (NOK) penumpang dan anak kapal MH370.

Dalam perkembangan lain, Azharuddin berkata, pihaknya sentiasa memantau keadaan jerebu setiap hari bagi memastikan kelancaran operasi penerbangan di setiap lapangan terbang di seluruh negara.

Menurutnya, pihaknya juga akan mengambil keputusan serta-merta termasuk menutup dan menangguhkan operasi penerbangan terutama di lapangan terbang yang terkesan dengan masalah jerebu.

“Kami ada menetapkan petunjuk tertentu, namun sekiranya jarak penglihatan kurang memuaskan, maka keputusan serta- merta akan diambil.

“Untuk makluman, keadaan jerebu di darat dan udara berlainan, justeru, juruterbang penerbangan turut diminta melaporkan keadaan itu kepada kami sebelum sebarang keputusan dapat diambil,” katanya.

Semalam, operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dihentikan lebih tiga jam berikutan jarak penglihatan yang rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 5:45 AM