MOHD Mokhtar (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas selepas menumpaskan sindiket dadah tempatan di Bukit Aman, semalam.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Sindiket pengedaran ganja didalangi warga tempatan dikesan membawa masuk dadah jenis itu dari negara jiran secara besar-besaran sebelum menyembunyikan ratusan ketulan mampat ganja sebelum diedarkan di Selangor dan ibu negara.

Bagaimanapun, taktik sindiket didalangi tiga lelaki yang menyembunyikan 479 ketulan mampat ganja di dalam tiga kenderaan model Toyota Vellfire dan Alphard berjaya dilumpuhkan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, kelmarin, di Kuala Selangor, Selangor.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, tiga lelaki berusia 30-an itu ditahan dan pihaknya merampas ketulan mampat ganja seberat 469 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM2 juta.

Beliau berkata, dalam serbuan kira-kira jam 8.30 pagi itu, semua suspek ditahan di Jambatan Kuala Selangor, Selangor, selepas risikan yang dijalankan pihaknya mendapati sindiket cuba memasarkan ganja yang diseludup dari negara jiran di sekitar Lembah Klang.

“Ketika ditahan, sindiket terbabit mengisi semua ganja berkenaan dalam guni sebelum diangkut menggunakan dua kenderaan pelbagai guna mewah. Dalam serbuan itu, polis menyita tiga kenderaan yang digunakan dan merampas wang tunai berjumlah RM1,300,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, tiga suspek yang dipercayai aktif sejak seminggu lalu turut positif dadah dan dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

Mohd Mokhtar berkata, pihaknya masih menyiasat bagaimana cara bekalan dadah itu dibawa masuk ke negara ini dan tidak menolak kemungkinan masih ada saki baki anggota sindiket yang masih bebas.

“Kejayaan melumpuhkan sindiket pengedaran ganja ini banyak dibantu maklumat orang ramai selain risikan yang dijalankan anggota polis,” katanya.

Beliau memberitahu, semua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu direman selama tujuh hari hingga 11 Oktober ini bagi membantu siasatan polis.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 6:06 AM