Nibong Tebal: Sebuah treler yang tiga minggu diparkir di tapak pembinaan sebuah stesen minyak meragut nyawa seorang penunggang motosikal selepas ia tiba-tiba menggelongsor ke jalan utama di Jalan Tasek Mutiara, Sungai Bakap, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi, treler yang berkunci serta enjinnya dimatikan itu tiba-tiba bergerak sebelum merempuh seorang lelaki berusia 49 tahun yang menunggang motosikal di situ.

Mangsa, Tan Teng Cheong yang kebetulan melalui jalan berkenaan dari Jalan Puteri Gunung, Mutiara Jaya untuk ke tempat kerjanya di Permatang Tinggi maut di tempat kejadian selepas tersepit di bawah treler berikutan rempuhan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Wan Hassan Wan Ahmad berkata, sejurus selepas kejadian, pihak bomba terpaksa menggunakan jentera ‘fork lift’ bagi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bawah treler.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat dan waris mangsa dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Siasatan mendapati enjin treler berkenaan dimatikan dan ia bergerak sendiri tanpa pemandu di dalamnya dipercayai kerana kerosakan di bahagian brek.

“Treler berkenaan merempuh penghadang plastik yang diletakkan di kawasan pembinaan di situ dan terus menggelongsor masuk ke jalan utama,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mencari pemandu treler berkenaan bagi diambil keterangan. Kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana cuai sehingga menyebabkan kematian. Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 6:11 AM