PEMANDANGAN pekan Kuah, Langkawi yang dilitupi jerebu.
PEMANDANGAN pekan Kuah, Langkawi yang dilitupi jerebu.
Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Keadaan jerebu yang semakin buruk dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 176 pada awal pagi semalam menyebabkan kedatangan pelancong tempatan dan asing ke pulau ini berkurangan, sekali gus menyebabkan kawasan tumpuan orang ramai di sini lengang.

Tinjauan di Dataran Lang, di sini, pada jam 1 petang mendapati keadaan berjerebu memberi kesan besar apabila pengunjung di lokasi pelancongan itu merosot teruk berbanding sebelum ini.

Kakitangan pembersihan kawasan pelancongan itu, Sarina Mohd Salleh, 42, berkata, sejak dua hari lalu, pelancong amat berkurangan mengunjungi Dataran Lang.

“Selalunya seawal jam 9 pagi sudah ada beberapa bas persiaran yang tiba dengan jumlah pelancong yang ramai untuk berjalan-jalan sambil bergambar kenangan dengan replika helang di sini.

“Saya rasa mereka tidak berminat lagi bersiar-siar di tempat terbuka seperti Dataran Lang kerana bimbang jerebu memberi kesan buruk kepada kesihatan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pengurus Besar Taman Hidupan Liar Langkawi Teoh Cheng Kung turut mengakui jumlah pelancong yang datang ke taman itu merosot sejak dua hari lalu apabila tahap jerebu semakin buruk.

“Seperti produk pelancongan lain, kami juga menerima tempias apabila berlaku kekurangan pengunjung secara mendadak sejak dua hari lalu ekoran jerebu yang tebal melanda pulau ini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati Persidangan Ketua-Ketua Polis Bantuan Pelabuhan Malaysia dan Seminar Keselamatan yang dijadual berlangsung semalam dan dihoskan oleh Langkawi Port Sdn Bhd (Langkawi Port) di sebuah hotel, di sini, dibatalkan.

Pengurus Pentadbiran Langkawi Port Shap Hashim berkata, persidangan itu terpaksa dibatalkan selepas peserta luar tidak dapat menghadirinya berikutan pembatalan penerbangan mereka dari Kuala Lumpur.

Sektor perhotelan turut menerima kesan apabila pelancong tempatan dan luar negara membatalkan tempahan pada saat akhir ekoran pembatalan penerbangan dari Kuala Lumpur.

Pengurus Besar Hotel Adya Langkawi Razmi Rahmat berkata, sebahagian besar pelancong yang berhasrat bercuti di Langkawi menerusi penerbangan turut membatalkan tempahan penginapan mereka.

“Sejak dua hari lalu, kami menerima banyak panggilan dari pelanggan untuk membatalkan tempahan bilik membabitkan pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.

Pengurus Honeyzone Travel & Tours Sdn Bhd Hanishah Hasan berkata, syarikatnya juga dijangka mengalami kerugian apabila sebahagian besar pelancong membatalkan tempahan pakej lawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 6:14 AM