Nafisah menguruskan Abdul Murad sejak terlibat dalam kemalangan 19 tahun lalu di rumahnya Kampung Lubok Pukol, Binjai.

Kota Bharu: “Dia memang bukan anak kandung saya, tapi saya akan jaganya hingga akhir hayat,” kata Nafisah Awang, 75, warga emas yang nekad menjaga anak saudaranya, Abdul Murad Abdul Mubin, 31, selepas pemuda itu lumpuh seluruh badan akibat kemalangan, 19 tahun lalu.

Walaupun dirinya sendiri tidak begitu kuat akibat faktor usia, Nafisah berkata, tidak akan sekali-kali membiarkan Abdul Murad yang sudah dipeliharanya sejak berusia setahun.

Katanya, Abdul Murad menderita gangguan saraf otak dan hanya terbaring selepas insiden dilanggar motosikal ketika mahu melintas jalan untuk berbuka puasa bersama arwah suami Nafisah, Said Yusoff, 77.

“Ketika kemalangan, mereka mahu menyeberangi jalan ke restoran berdekatan rumah kami. Tiba-tiba saja motosikal yang ditunggang laju merempuhnya mengakibatkan dia menderita begini.

“Sejak kemalangan itu, Abdul Murad seperti seorang bayi dan semua keperluannya perlu diuruskan. Saya tidak sampai hati membiarkannya, malah saya akan terus menjaganya selagi hayat masih ada.

“Sebelum ini, arwah suami ada membantu, tapi sejak dia kembali ke rahmatullah, beberapa tahun lalu, hanya saya seorang menguruskan Abdul Murad.

“Dia adalah anak adik saya, Esah, 60, yang saya pelihara sejak masih bayi lagi. Walau bukan saya yang lahirkan, saya sayang dia sepenuh hati saya, macam anak saya yang lain juga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lubok Pukul, di sini, semalam.

Nafisah yang mempunyai tiga anak berusia antara 50 hingga 54 tahun berkata, dia tidak menghadapi kesukaran memelihara Abdul Murad kerana dia hanya menghidap penyakit darah tinggi, namun tidak kronik.

“Saya masih boleh mengurus semua keperluannya daripada penyediaan makanan hingga memandikannya dan menukar lampin.

“Ada ketika seorang anak yang menetap sekitar sini akan datang membantu apa yang perlu,” katanya yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

Bagi menampung keperluan mereka dua beranak, Nafisah berkata, dia mengajar penduduk setempat mengaji al-Quran dan menerima pendapatan sekitar RM300.

“Insya-Allah selagi kudrat saya ada, Abdul Murad akan saya tatang bagai minyak yang penuh kerana dia lebih memerlukan perhatian berbanding saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 6:25 AM