ANGGOTA polis membawa suspek untuk ditahan reman di Mahkamah Majistret Gua Musang.

Gua Musang: Seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu kes pasangan suami isteri yang maut selepas bom yang dipasang pada motosikal mereka meletup di Kilometer 3 Jalan Pulai-Gua Musang, dekat Kampung Pulai, di sini, kelmarin.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri pada jam 9.30 pagi semalam di Mahkamah Majistret Gua Musang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Saiful Bahri Abdullah mengesahkan perkara itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Lelaki itu yang juga anak angkat pasangan berkenaan ditahan kelmarin di rumahnya di Kampung Batu Papan Dua, di sini, sejam selepas kejadian.

Dalam kejadian pada 9 pagi itu, Cha Mok Liong dan isteri Fong Ah Fong masing-masing berusia 72 tahun maut dengan mayat mereka berkecai berikutan bom buatan sendiri dipercayai dipasang pada motosikal dinaiki mereka meletup.

Difahamkan pasangan terbabit dalam perjalanan ke Pulai untuk ke pejabat Lembaga Getah Malaysia dan bersarapan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 6:46 AM