OTHMAN (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Abdul Aziz selepas  program TKHM di Sungai Bakap, Nibong Tebal.
OTHMAN (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Abdul Aziz selepas program TKHM di Sungai Bakap, Nibong Tebal.
Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

Nibong Tebal: “Terima kasih atas sumbangan yang diberikan dan sudi datang ke madrasah ini,” kata Pengetua Madrasah Irshadiah Al-Ashraf Al-Wataniah Abdul, Aziz Yusoff, 61, selepas menerima kunjungan konvoi motosikal berkuasa tinggi sempena Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) di madrasah berkenaan di Sungai Bakap, di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, pihaknya bersyukur kerana menerima sumbangan cek RM5,000 yang akan digunakan untuk menambah baik dan memperbaiki pelbagai kekurangan di pusat pengajian berkenaan.

“Pihak pengurusan akan menggunakan sumbangan ini membaiki bumbung zink yang bocor di pondok dihuni penuntut lelaki di kawasan madrasah.

“Dinding papan pondok semakin uzur dan reput ditukar kepada kepingan papan baru, selain membaiki pintu tandas serta menambah baik jalan di kawasan pondok,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima cek disampaikan Pengerusi TKHM yang juga Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) HM, Othman Mamat.

Hadir sama Ketua Biro HM Pulau Pinang, Saipul Adli Mohamad.

Yang menarik, kunjungan rombongan TKHM ke madrasah itu membabitkan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang melakukan konvoi dinamakan ‘Ride Santai HM 2015’ bermula dari Kuala Lumpur menuju ke Hatyai, Thailand dan berpatah balik ke Kuala Lumpur selama tiga hari dua malam.

Selain sumbangan cek, 10 kampit beras disumbangkan untuk kegunaan penuntut madrasah berkenaan, manakala Suzuki Motor Malaysia Sdn Bhd menaja lima motosikal berkuasa tinggi dan petrol ditaja BHPetrol.

Sementara itu, Othman berkata, pihaknya menerima permohonan daripada pengurusan madrasah yang memerlukan bantuan kewangan bagi menambah baik pondok pengajian itu.

“Bantuan kepada madrasah ini menerusi program bulanan TKHM dan kami akan berterusan mengadakan program sebegini bagi membantu golongan miskin, ibu tunggal serta anak yatim yang memerlukan bantuan.

“Selain program bulanan, kami ada program khas seperti perayaan Aidilfitri, Aidiladha dan yang terdekat sempena Deepavali nanti. Manakala, program TKHM tetap pula pada setiap Ramadan apabila kami memilih satu atau dua lokasi bergantung kepada sumbangan dan sokongan penaja.

“Kami harap apabila berita mengenai madrasah ini disiarkan di HM, ada pihak lain sudi memberi sumbangan kepada madrasah,” katanya.

Semalam, HM menyiarkan mengenai pengurusan Madrasah Irshadiah Al-Ashraf Al-Wataniah memerlukan bantuan kewangan pelbagai pihak bagi menambah baik pondok pengajian dan mengatasi masalah kekurangan kemudahan asas serta peralatan pembelajaran.

Pusat pengajian itu diasaskan pada 1953 dan masih mengekalkan pondok yang popular dalam kalangan masyarakat Islam terutama pada akhir abad ke-19 serta 20 dan sehingga kini mempunyai 26 tenaga pengajar dengan 600 penuntut.

Sebanyak 350 pondok dihuni penuntut membabitkan pasangan suami isteri, pesara, warga emas, ibu tunggal dan golongan muda berusia antara 13 hingga 25 tahun. Difahamkan, 50 pondok dihuni penuntut lelaki semakin uzur, malah mengalami kebocoran bumbung yang perlu dibaiki segera.

Bagi yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi talian 04-5826389 atau menyumbang ke akaun Bank Islam atas nama Madrasah Irshad Al-Ashraf Al-Wataniah (nombor akaun 08022010011757), manakala bagi pembangunan golongan warga emas melalui AmIslamicBank di akaun nombor 120-002-015063-2 atas nama Abdul Aziz Badray atau Ab Wahab Puteh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2015 @ 5:11 AM