KEADAAN kereta dinaiki tiga beranak yang terbabit kemalangan di KM 199.6, Lebuhraya PLUS, arah selatan, pagi semalam.

Alor Gajah: Tiga beranak termasuk seorang wanita hamil dua bulan bernasib baik kerana cedera walaupun Nissan Almera dinaiki mereka remuk selepas terbabas dan terbalik di Kilometer 199.6, Lebuhraya PLUS, arah selatan, berhampiran susur keluar Tol Ayer Keroh, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.40 pagi, kereta terbabit dipandu pegawai imigresen T Puvendran, 23, bersama isteri berusia 20-an dan anak perempuan mereka yang berusia tiga tahun dalam perjalanan dari Cameron Highlands, Pahang ke Skudai, Johor.

Puvendran yang bertugas di Jabatan Imigresen Johor berkata, ketika kejadian dia memandu di lorong kiri sebagai persediaan untuk singgah di hentian rehat berhampiran sebelum mendakwa keretanya dihimpit kenderaan lain.

“Kenderaan terbabit yang dipandu laju muncul secara tiba-tiba dan terus menghimpit kereta kami, ia menyebabkan saya hilang kawalan, isteri yang tidur terjaga selepas menyedari kereta bergoyang.

“Dalam sekelip mata, kereta saya terbabas dan memasuki longkang. Saya cuba mengawal kenderaan untuk naik ke tebing jalan namun gagal,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 8:36 AM