Johor Bahru: Persepsi rakyat mengenai keburukan tenaga nuklear yang dibimbangi membawa kesan pencemaran bahan radioaktif dengan mengambil kira dua kes terdahulu menyebabkan negara ini dijangka hanya bersedia memiliki loji jana kuasa nuklear pertama pada 2030.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia (MNPC) Dr Mohd Zamzam Jaafar, berkata dua loji jana kuasa nuklear itu mampu menjana 2,000 megawatt tenaga elektrik pada 2021 dengan kos mencecah RM21.3 bilion.

Katanya, rasional perbelanjaan itu selaras dengan Laporan Program Transformasi Ekonomi (ETP) pada 2010 namun disebabkan perubahan itu, peruntukkan dijangka bertambah apabila projek itu direalisasikan nanti.

“Insiden Fukushima (kejadian tsunami yang merosakkan sebuah jana kuasa nuklear dan menyebabkan pencemaran radioaktif di Fukushima Jepun) pada 2011 dan Chernobyl (kebocoran reaktor nuklear di Chernobyl Ukraine pada 1986) menyebabkan rakyat masih memandang negatif terhadap tenaga nuklear.

“Rancangan mewujudkan loji jana kuasa nuklear pada 2021 terpaksa dianjakkan dan jangkaan disyorkan berlaku dan boleh menghasilkan tenaga elektrik menggunakan tenaga alternatif itu pada tahun 2030.

“Ini kerana untuk menjalankan operasi menggunakan tenaga nuklear memerlukan tempoh sembilan hingga 10 tahun dan prosesnya berlaku peringkat demi peringkat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Belia Nuklear 2015 (NYC 2015) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, semalam.

NYC 2015 yang berlangsung dua hari bermula semalam membabitkan 101 peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 10:08 AM