NUR Zea Zahirah

Johor Bahru: Keluarga kepada kanak-kanak berusia sembilan bulan Nur Zea Zahirah menghidap penyakit hati Biliary Atresia, mengharapkan bantuan orang ramai untuk menampung kos pembedahan anak perempuan mereka yang masih tidak mencukupi.

Bapa kanak-kanak terbabit Arfianto Darman, 37, berkata, ketika ini mereka sekeluarga menerima sumbangan RM12,000, kos rawatan bagi pembedahan diperlukan RM160,000.

“Saya dan isteri (Norafizah Bujo, 33) berikhtiar mendapatkan dana membiayai kos pembedahan itu dengan keadaan kesihatan Nur Zea Zahirah yang semakin merosot diharap kami dapat menyediakan kos dengan segera.

“Alhamdulillah, dana yang diperoleh daripada pembaca akhbar ini, orang ramai dan dermawan di Facebook (FB) jumlah terkumpul kini mencecah RM12,000,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mengulas lanjut, katanya, dia tidak sampai hati mendengar tangisan anak perempuannya itu akibat penyakit dideritai.

Katanya, dia juga sudah mendapatkan pertolongan bank untuk membantu mengaktifkan akaun bank isterinya selepas didapati tidak aktif hingga menyukarkan penderma membantu Nur Zea Zahirah.

Katanya, sehingga kini, ramai pihak termasuk rakan terdekat melawat anaknya yang ditempatkan di Wad 7B, Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang dan menghulurkan sumbangan.

Akhbar ini pada 3 Oktober lalu menyiarkan mengenai pengorbanan Norafizah dan Arfianto yang sanggup menyerahkan hati mereka selepas anak bongsu mereka itu menghidap penyakit hati Biliary Atresia.

Pasangan berkenaan sanggup mendermakan hati mereka kepada Nur Azea Zahira untuk melihat anak bongsu daripada tiga beradik itu pulih daripada penyakit kronik dihidapinya dan membesar dengan sihat.

Norafizah yang bekerja sebagai kerani di kilang di Simpang Renggam memperoleh gaji RM900 sebulan, manakala suaminya terpaksa berhenti kerja di kilang papan kerana menjaga Nur Zea Zahira di hospital, selain bergilir-gilir menjaganya.

Orang ramai yang bersimpati boleh memberikan sumbangan dengan menyalurkannya melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Norafizah BujO 01108-41-00008882-0 atau Maybank 101197033379 atau berhubung dengan Norafizah di talian 019-7649209.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 10:15 AM