Kuala Lumpur: “Kita semua tidak lupa yang (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menutup mulut musuh politiknya dulu,” kata penganalisis politik Dr Muhammad Fathi Yusof.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini berkata, kewujudan ISA untuk mengekang ancaman komunis.

Bagaimanapun, katanya, undang-undang itu disalahgunakan mantan Perdana Menteri itu ketika zaman pemerintahannya.

“Kita tidak mahu penyalahgunaan seperti ISA dulu berlaku lagi,” katanya di sini, semalam.

Beliau mengulas tindakan Dr Mahathir yang mengkritik penahanan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sehubungan itu, kelmarin kedua-dua individu yang dikaitkan dengan Dr Mahathir itu didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.

Khairuddin, 53, dan Chang, 65, didakwa melakukan kesalahan itu di lima lokasi iaitu pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Perancis di Paris; Balai Polis Charing Cross London, United Kingdom; pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern; Balai Polis Wai Chan, Hong Kong dan ibu pejabat polis Cantoment, Singapura antara 28 Jun hingga 26 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan (Akta 547) dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun.

Dalam pada itu, Muhammad Fathi berkata, Khairuddin dan Matthias sepatutnya ditahan mengikut undang-undang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 8:43 AM