PELAJAR menimba pengalaman dalam program ke Artik dan Antartika.
PELAJAR menimba pengalaman dalam program ke Artik dan Antartika.
Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Malaysia akan meneruskan program menghantar pelajar sekolah ke Artik dan Antartika dalam usaha melahirkan lebih ramai pelapis saintis seterusnya menarik minat generasi muda mendalami sains dengan lebih mendalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) Mohd Nasaruddin Abd Rahman berkata, penghantaran empat pelajar menyertai program ‘Students On Ice’pada 27 Julai lalu ke Artik memberikan reaksi positif dalam membentuk pemikiran mereka supaya lebih menerokai bidang sains.

Beliau berkata, empat pelajar berkenaan ditaja kerajaan Terengganu dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkesempatan meluangkan masa 12 hari mengkaji, berkongsi idea dan mendengar pengalaman daripada pakar sains dari seluruh dunia.

“Mereka menyertai 100 pelajar lain dari seluruh dunia untuk merasai pengalaman ketika berada di Artik, malah berkesempatan melihat sendiri fenomena alam seperti pertukaran iklim, waktu siang lebih 20 jam serta keadaan demografi yang sama sekali berbeza dengan Malaysia.

“Malah, empat pelajar berusia 16 dan 17 tahun itu boleh merasai perubahan iklim di kawasan berkenaan yang mempengaruhi dan mengubah keadaan cuaca di seluruh dunia,” katanya ketika ditemui di pejabat YPASM, di sini, semalam.

Beliau berkata, mereka yang berpeluang ke Artik adalah pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu, Ahmad Amirul Farhan Zulkifli, dan Nurul Izzaidah Zulkifli, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan, Besut, Terengganu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 7:53 AM