SEBAHAGIAN peserta menunggu giliran untuk naik ke pentas.
Oleh Siti Farahiyah Aziz

Kuala Lumpur: Program Smart Tadris bukan saja mengajar mengenai asas agama, tetapi membentuk kanak-kanak menjadi lebih berkeyakinan dan berani tampil ke hadapan.

Penasihat Kehormat Smart Tadris Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz berkata, pepatah melentur buluh biar dari rebung sering digunakan dan ia bersesuaian dalam membentuk peribadi diri kanak-kanak sejak kecil kerana mereka dalam proses pembelajaran.

“Tujuan utama pertandingan hafazan surah dan doa harian ini memberi pendedahan serta menaikkan semangat murid menghafal surah lazim dan doa harian sebagai amalan dalam kehidupan serta pembentukan sahsiah Islamik.

“Sekiranya mereka terus dibentuk, Insya-Allah dapat melahirkan generasi yang berjiwa Islamik dan tidak tercemar dengan anasir negatif,” katanya ketika ditemui di Auditorium Wisma Smart Reader Worldwide Sdn Bhd di Segambut sempena Pertandingan Hafazan Surah dan Doa Harian Peringkat Saringan 2015 di sini, semalam.

Pertandingan ini membabitkan 111 murid dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu hafazan doa harian bagi murid lima tahun dan hafazan surah lazim bagi murid enam tahun.

Abu Hasan berkata, bagi tahap murid empat hingga lima tahun ini, ia satu pencapaian yang membanggakan.

Sementara itu, Pengetua Smart Reader Kids Bandar Baru Bangi Datin Nor Hidayawati Jaafar berkata, pemilihan murid untuk menyertai pertandingan ini berdasarkan pencapaian mereka di dalam kelas.

“Saya memilih 22 murid menyertai pertandingan ini dan selepas melihat mereka memperdengarkan bacaan masing-masing, menunjukkan mereka mampu mengingati dan membaca bahasa Arab dengan baik,” katanya.

Peserta dinilai berdasarkan kelancaran, tajwid, makhraj huruf, keyakinan diri serta intonasi suara dan 50 murid dipilih untuk ke peringkat akhir.

Keputusan saringan diumumkan pada 26 Oktober ini melalui laman sesawang www.smartreader.edu.my dan pertandingan peringkat akhir diadakan pada 22 November ini di Masjid Amaniah Kepong.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 7:58 AM