Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan ucapan takziah atas kembalinya ke Rahmatullah bekas Mufti Wilayah Persekutuan Tan Sri Abdul Kadir Talib semalam.

Allahyarham Abdul Kadir, 87, meninggal dunia kerana sakit tua di pusat perubatan pada jam 6.40 pagi.

“Takziah atas pemergian Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir Talib, mantan Mufti Wilayah Persekutuan.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau. Al-Fatihah,” kata Najib melalui akaun Twitternya @NajibRazak, semalam.

Jenazah Allahyarham dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini.

Allahyarham Abdul Kadir, yang berasal dari Pontian, Johor, menjadi Mufti Wilayah Persekutuan dari Julai 1991 hingga Januari 1997. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 7:35 AM