SULTAN Nazrin menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi kepada Rafidah pada Istiadat Konvokesyen UM ke-54 di Dewan Tunku Canselor, UM, semalam.
Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) 2015, semalam.

Anugerah itu dikurniakan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Canselor UM sebagai menghargai sumbangan Rafidah terhadap pertumbuhan negara dan ekonomi.

Anugerah sama turut dikurniakan kepada seorang lagi tokoh ekonomi dan korporat iaitu Tan Sri Andrew Sheng Len Tao yang kini turut menganggotai Jawatankuasa Khas Ekonomi di bawah pejabat Perdana Menteri.

Rafidah dalam ucapannya berkata, anugerah itu sungguh bermakna buat beliau kerana UM adalah tempatnya melanjutkan pengajian serta menjadi tenaga pengajar di situ selama 10 tahun.

Katanya, ia juga adalah universiti untuk beliau, suami serta tiga anaknya yang turut melanjutkan pengajian di tempat sama.

“Anugerah ini sungguh bermakna kerana diberikan oleh UM iaitu tempat saya melanjutkan pengajian dan menjadi tenaga pengajar selama 10 tahun.

“Saya sangat menghargainya kerana ini adalah universiti saya dan keluarga. Suami dan tiga anak turut mendapat ijazah daripada UM,” katanya.

Sempena pembukaan Istiadat Konvokesyen UM 2015 itu juga, Sultan Nazrin turut menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada bekas Naib Canselor UM Prof Datuk Dr Hashim Yaacob yang pernah berkhidmat antara 2003 hingga 2006 dan Prof Datin Dr Rahmah Bujang.

Manakala graduan Sarjana Muda Perniagaan dan Perakaunan Alvin Soo, 23, dan graduan Sarjana Muda Sastera dan Sains Sosial Thomas Chandan Anak Galong dikurniakan Anugerah Pelajaran Diraja.

Sempena Istiadat Konvokesyen UM 2015, seramai 5,478 akan menerima ijazah masing-masing membabitkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Doktor Kesihatan Awam, Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma Pascasiswazah Pentadbiran Awam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 9:46 AM