X
 MIZA  menunjukkan isyarat lucah  di  Mahkamah Majistret Port Dickson, semalam.
MIZA menunjukkan isyarat lucah di Mahkamah Majistret Port Dickson, semalam.

Port Dickson: Seorang lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan membunuh abangnya awal bulan ini menunjukkan isyarat lucah kepada jurugambar dan wartawan dipercayai akibat berang gambarnya dirakam.

Miza Ezari Imran, 23, bertindak sedemikian ketika dibawa keluar dari mahkamah atas pertuduhan membunuh abangnya, Helmizi, 33, pada 5 Oktober lalu.

Terdahulu Majistret M Mageshwary menetapkan 24 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Dia yang bekerja sebagai tukang cat kereta di Johor Bahru, memakai baju lokap jingga kelihatan tenang ketika pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suhaili Sapun manakala tertuduh tidak diwakili peguam

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menikam dada abangnya menggunakan pisau hingga mati di rumah mereka di Kampung Chuah, di sini, jam 1.30 petang.

Kejadian itu berlaku selepas mangsa menegur tertuduh yang ketika itu berebut alat kawalan jauh televisyen dengan anaknya berusia lima tahun.

Teguran itu membawa kepada pergaduhan dan kemuncaknya apabila tertuduh mengambil pisau lalu menikam dada abangnya.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Port Dickson (HPD).

Sejurus kejadian, tertuduh dilaporkan melarikan diri ke rumahnya Johor Bharu.

Tertuduh ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson selepas pengebumian abangnya, 6 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 8:49 AM