Ahmad Zahid menyampaikan anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2015 kepada Mohammad Tarmizi, semalam.
Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

Putrajaya: “Kita harus hebat di gelanggang antarabangsa dan bukan hanya menjadi jaguh kampung,” kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada penuntut institusi kemahiran di negara ini.

Beliau berkata, sebelum ini ramai penuntut institusi kemahiran yang menyertai pertandingan kemahiran di peringkat tempatan, ASEAN dan antarabangsa menunjukkan kemampuan mereka apabila memperoleh pingat kecemerlangan.

Menurutnya, contoh terbaik adalah kejayaan penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak Kuala Kubu Bharu Selangor yang mengharumkan nama negara dengan merangkul pingat pertama dalam Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) 2015 di Sao Paulo, Brazil 2015 sejak negara menyertai pertandingan itu pada 1993.

Katanya, kejayaan diperoleh Airul Firham Che Amran, 22, yang mendapat pingat gangsa dalam bidang dandanan rambut membanggakan negara.

“Walaupun bidang dandanan rambut biasanya diceburi wanita, namun kemenangan ini perlu dimantapkan lagi dengan kombinasi tenaga peserta wanita dan lelaki bagi membolehkan Malaysia benar-benar cemerlang di WSC 2017 di Abu Dhabi.

“Apabila berada di gelanggang antarabangsa... kita berada dalam kepompong lebih luas lagi... jadi jangan jadi jaguh kampung sahaja, (sebaliknya) kita akan menjadi jaguh antarabangsa apabila pertandingan ini diadakan di Abu Dhabi kelak,” katanya pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Pengerusi Majlis Pertandingan Kemahiran Malaysia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

Pada majlis itu, penuntut Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas Pulau Pinang Mohammad Tarmizi Abu Hassan, 22, diumum sebagai penerima Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2015, sekali gus melayakkannya menerima hadiah wang tunai RM10,000, piala dan sijil penyertaan.

Ahmad Zahid turut menyampaikan pingat dan sijil kepada kontinjen Malaysia di WSC 2015 dan Pertandingan WorldSkill Malaysia-Belia (WSMB).

Ahmad Zahid berkata, bagi memastikan kejayaan pasukan Malaysia di Abu Dhabi, beliau berusaha mendapatkan peruntukan khas dan menawarkan hadiah dua kali ganda kepada peserta yang merangkul pingat emas.

Pada masa sama, beliau akan mengusulkan supaya beliau sendiri mempengerusikan mesyuarat Pertandingan Kemahiran ASEAN 2016 yang akan diadakan di Kuala Lumpur tahun depan.

“Saya berasakan kerjasama pintar di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kerja Raya diperkukuhkan lagi dengan pembabitan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Ia sebagai persiapan kepada pasukan Malaysia menghadapi pertandingan berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 9:50 AM