KAWASAN perumahan kelihatan kabur ekoran jerebu teruk yang melanda Shah Alam sekitar jam 1 tengah hari, semalam.

Kuala Lumpur: Kehadiran Ribut Tropika Koppu dan Ribut Tropika Champi masih mempengaruhi corak tiupan angin di kawasan serantau negara sekali gus mendatangkan kesan jerebu berpanjangan sejak Isnin lalu.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataannya berkata, Ribut Tropika Koppu kini berada kira-kira 1,383 kilometer (KM) ke arah Utara Kudat, Sabah dan menurun ke Taufan Koppu selepas membadai Pulau Luzon, Filipina Isnin lalu.

“Koppu kini berada di Laut China Selatan dan bergerak ke arah timur laut menuju ke Taiwan dengan kelajuan 15 KM/ jam.

“Manakala Taufan Champi yang berada kira-kira 2,944 KM ke timur laut Sandakan, Sabah, kini bergerak ke arah utara dengan kadar perlahan,” katanya.

Jelas Wan Junaidi, keadaan itu dijangka mengurangkan taburan hujan kerana kawasan serantau negara akan dipengaruhi tiupan angin barat daya dengan kelajuan yang sederhana.

“Bagaimanapun, hujan di satu dua tempat masih boleh berlaku di kawasan utara Semenanjung dan pantai Sarawak serta barat Sabah pada awal pagi.

“Manakala pada waktu petang dan senja pula, kebanyakan tempat di Semenanjung dijangka tiada hujan kecuali hujan dan ribut petir di satu dua tempat yang dijangka berlaku di Sarawak dan Sabah,” katanya.

Menyebut laporan dikeluarkan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) Singapura semalam, Wan Junaidi berkata, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) mengesan sejumlah 68 titik panas di Kalimantan, 36 di Sumatera dan tiga di Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 10:01 AM