Sebahagian gas LPG dirampas pihak KPDNKK di Kampung Jawa, Klang, semalam.
Oleh Mohd Hasbi Sidek

Klang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya membongkar kegiatan sebuah syarikat yang mengaut keuntungan jutaan ringgit hasil kegiatan ‘mencuri’ gas petroleum cecair (LPG) subsidi dari pasaran sebelum dipindahkan ke tong LPG.

Sindiket beroperasi di Kampung Jawa di sini, menjalankan aktiviti haram itu dengan menjual semula tong LPG kepada pihak industri.

Dalam serbuan jam 7 pagi kelmarin, pihak KPDNKK merampas 247 tong industri dan 12 tong LPG domestik seberat 12,518 kilogram (kg) bernilai RM221,580.

Penguat kuasa KPDN- KK turut menyita sebuah lori tiga tan yang digunakan untuk aktiviti itu termasuk menahan tiga lelaki warga Bangladesh berusia dari 30 hingga 50 tahun kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Ketua Pengarah Penguat kuasa KPDNKK Mohd Roslan Mahyudin berkata, risikan selama sebulan berjaya mengesan premis yang disyaki terbabit menjalankan aktiviti penyelewengan LPG bersubsidi itu.

“Kami menyerbu gudang berkenaan dan pemeriksaan lanjut mendapati mereka membeli LPG domestik yang ditanggung subsidi kerajaan sebanyak RM1.90 per kg di pasaran.

“Modus operandi mereka adalah menyedut masuk gas subsidi ke dalam tiga tangki khas sebelum memindahkannya ke tong industri. Tong itu dijual kepada pengilang atau restoran bagi membolehkan mereka mengaut keuntungan yang tinggi,” katanya ketika ditemui dalam sidang media, di sini, semalam.

Beliau berkata, premis berkenaan mempunyai lesen untuk menyimpan dan menjalankan urus niaga LPG, namun kegiatan mereka ini menjurus kepada pengilangan.

“Malah tindakan mereka yang memindahkan sendiri gas berkenaan ke tangki dan tong adalah diharamkan.

“Kami juga mengambil keterangan daripada dua wanita warga tempatan berusia 30 dan 45 tahun dipercayai pengurus premis untuk membantu siasatan.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 22, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM2 juta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2015 @ 9:31 AM