MD Zuker (dua dari kiri) menunjukkan heroin dan syabu yang dirampas dalam serbuan, semalam.
Oleh Omar Osman

Sungai Petani: Kelicikan seorang pengedar dadah berusia 36 tahun yang sering meloloskan diri berakhir apabila ditahan bersama sejumlah dadah jenis heroin dan syabu dengan nilai keseluruhan hampir RM75,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Tuanku Haminah, di sini, Selasa lalu.

Serbuan dilakukan kira-kira jam 2 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda selepas melakukan risikan hasil maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zuker Md Isa berkata, tindakan pantas anggota polis melakukan serbuan ke atas rumah yang disewa lelaki terbabit menyebabkan suspek gagal melarikan diri.

Katanya, pemeriksaan di dalam rumah berkenaan kemudian menemui sembilan peket plastik lut sinar besar dan lapan peket plastik kecil mengandungi dadah jenis heroin seberat 3,784 gram bernilai RM63,000.

“Polis turut menemui sejumlah syabu yang siap dibungkus di dalam dua peket plastik lut sinar seberat 65 gram bernilai RM11,700 selain menjumpai wang tunai berjumlah RM1,000.

“Berikutan tangkapan itu, polis turut menyita sebuah pikap jenis Toyota Hilux dan sebuah kereta Toyota Camry dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah, wang tunai dan kereta dianggarkan berjumlah lebih RM205,000,” katanya pada sidang media di IPD Kuala Muda, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua JSJN Daerah Kuala Muda Asisten Superintendan Abdul Razak Osman dan Pengawai Penyiasat Inspektor Mohd Zulhafiz Zainuddin.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman selama seminggu sehingga Isnin depan untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Katanya, pada masa sama, siasatan polis mendapati rumah terbabit dijadikan stor bagi tujuan menyimpan dadah sebelum mengedarkannya dengan suspek dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah di daerah Kuala Muda dan kawasan sekitarnya.

“Suspek juga memiliki lapan rekod jenayah lampau membabitkan kes samun curi kereta dan motosikal di Gombak dan Damansara, Kuala Lumpur, Ipoh, Perak dan Pendang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2015 @ 9:33 AM