PENUNGGANG motosikal terpaksa meredah jerebu untuk ke tempat kerja di Alor Setar, semalam.

Kuala Lumpur: Situasi jerebu di kawasan utara Semenanjung semakin teruk apabila enam lokasi mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat, semalam.

Berdasarkan laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehingga jam 7 malam tadi, bacaan IPU paling tinggi adalah di Seberang Jaya 2, Pulau Pinang iaitu 233, Alor Setar, Kedah (230), Langkawi (225), Kangar, Perlis (208) dan Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang (203).

Pada masa sama, sebanyak 22 lokasi mencatatkan bacaan IPU tidak sihat di seluruh negara iaitu paling tinggi Perai, Pulau Pinang (184), Seri Manjung dan S K Jalan Pegoh, Ipoh (162), Pelabuhan Klang, Selangor (153), Kampung Air Putih, Taiping, Perak (149), Kuala Selangor (147) dan Jalan Tasek Ipoh, Perak (144),

Manakala kawasan lain yang turut mencatatkan bacaan tidak sihat ialah di Shah Alam (129), Petaling Jaya (105), Batu Muda (104) dan Putrajaya (103).

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataannya berkata, status kualiti udara tidak sihat di kawasan berkenaan adalah disebabkan tiupan angin dari arah barat daya yang masih berlaku.

Katanya, ia sekali gus membawa pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera dan Kalimantan, Indonesia dan keadaan itu berikutan terdapatnya dua ribut tropika yang aktif di Lautan Pasifik iaitu Ribut Tropika Koppu dan Champi yang mempengaruhi corak tiupan angin di kawasan serantau Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2015 @ 10:09 AM