KETUA Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikshan dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Amona, Abd Manaf Ahmad bergambar bersama para pemilik yang telah mendapat undian nombor rumah.

Putrajaya: Sebanyak 29,154 unit atau 37 peratus Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) sudah dibina di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan sejak dilaksanakan pada 2014.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Md Ikshan berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada sasaran keseluruhan 80,000 unit ditetapkan kerajaan.

Beliau berkata, 28,194 unit atau 35 peratus pula masih dalam perancangan, manakala 9,060 unit kediaman lagi masihdi peringkat cadangan oleh pemaju.

“Secara keseluruhannya, jumlah unit bagi projek yang sedang dirancang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan adalah 66,408 unit atau 83 peratus.

“Pada masa sama, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dengan kerjasama agensi dibawahnya sedang berusaha memastikan projek di peringkat cadangan ini digerakkan secepat mungkin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 8:29 AM