ADAM (tengah) dan Pengurus Besar Kawalan Kandungan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Shariman Zainal Abidin (tengah cermin mata hitam) bergambar bersama sebahagian selebriti.
Oleh Redzuan Muharam
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Kehadiran personaliti televisyen, selebriti tanah air dan peserta program Da’i menarik kehadiran lebih 5,000 penduduk ke program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TV3 di Taman Sri Stulang, semalam.

Program sempena Karnival Jom Heboh yang bermula hari ini Jumaat diadakan bermula jam 8.30 pagi hingga 6 petang.

Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan dan Rancangan TV3 & TV9 Sherina Nordin berkata, matlamat program itu adalah mendekati masyarakat dan ia istimewa kerana menampilkan barisan personaliti, selebriti dan peserta program Da’i musim ketiga.

“Program CSR ini adalah kesinambungan daripada tahun lalu dan TV3 bekerjasama dengan jawatankuasa penduduk Taman Sri Stulang bagi mengadakan aktiviti termasuk sesi gotong-royong di kawasan setempat.

“Selain berseronok, program ini mengetengahkan konsep perkongsian ilmu dengan penduduk setempat menerusi sesi motivasi bersama barisan Da’i musim ketiga iaitu Da’i Hidayu, Da’i Luqman, Da’i Tajdid Hadhari dan Da’i Fuad.

“Sesi beramah mesra di tapak program turut diadakan dan penduduk dapat bergambar dengan personaliti TV3 yang turun padang seperti Mior Malek, Zain Helmi Zaini dan dua chef selebriti iaitu Chef Fikrew dan Chef Zaida,” katanya pada majlis perasmian program yang dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Puteri Datuk Adam Sumiru.

Menurut Sherina, beberapa aktiviti lain turut diadakan bagi memeriahkan program seperti pameran, demonstrasi, pemeriksaan gigi dan bengkel yang membabitkan agensi kerajaan.

“Selain berhibur, TV3 tidak melupakan golongan kurang bernasib baik dan kerana itu kita memberi sumbangan cenderahati kepada anak yatim dan kurang berkemampuan bagi menceriakan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 9:18 AM