MAHDZIR (tiga dari kiri) menyampaikan piala Pertunjukan Sains Petrosains 2015 kepada Arrvierri (dua dari kanan), Ennqa (tiga dari kanan) dan Ernest (kiri).
MAHDZIR (tiga dari kiri) menyampaikan piala Pertunjukan Sains Petrosains 2015 kepada Arrvierri (dua dari kanan), Ennqa (tiga dari kanan) dan Ernest (kiri).
Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: Video empat eksperimen sains berdurasi 15 minit membawa tuah kepada dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli, Sabah apabila dinobatkan sebagai Johan Kebangsaan Pertandingan Akhir Pertunjukan Sains Petrosains 2015, di sini, semalam.

Kemenangan dalam pertandingan membabitkan lebih 900 penyertaan itu, sekali gus melayakkan pelajar berkenaan Ennqa Carrysna Kylie Jalius, 16, dan Arrvierri Vesspha, 16, serta guru pembimbing, Ernest Kelly Subin, 31, membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM20,000, termasuk wang tunai RM7,000, piala pusingan, sijil dan plak penghargaan.

Menurut Ernest, mereka tidak menyangka mampu menewaskan lebih 900 peserta dari seluruh negara yang mengambil bahagian sehingga terpilih ke peringkat separuh akhir diwakili 18 kumpulan dan peringkat akhir semalam menewaskan lapan kumpulan.

“Bagi kami, semua peserta adalah hebat-hebat belaka cuma mungkin tahun ini rezeki menyebelahi kami apabila mempertaruhkan empat eksperimen daripada lebih 20 eksperimen yang dihasilkan dua pelajar berkenaan sejak Mac lalu.

“Empat eksperimen terbabit adalah cara memadamkan api menggunakan karbon dioksida yang terhasil daripada cuka dan natrium bikarbonat, kaedah tuas untuk buka penutup botol menggunakan kertas, potong timun menggunakan kertas, dan penghasilan alat muzik tradisional Sabah dikenali ‘bangau’ menggunakan paip plastik berbanding buluh,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 9:30 AM