Tuan Saripah melihat anaknya, Tun Raisha Afrina yang menghidap penyakit kegagalan fungsi hati.
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Nerus: “Setiap kali dia tidur, saya akan pastikan dia tidak terganggu dan terjaga kerana ketika itu saja penderitaannya tidak terlihat,” kata Tuan Saripah Nor Shahirah Tuan Ibrahim, 21, ibu kepada Tun Raisha Afrina Tun Mohd Yazid, bayi berusia setahun yang menghidap Biliary Atresia iaitu masalah kegagalan fungsi hati.

Saripah berkata, dia sedih melihat keadaan anak perempuannya yang sukar bernafas selain perutnya semakin membesar disebabkan penyakit dihidapi sejak lahir itu.

“Setiap saat melihat Raisha bernafas akan membuatkan saya sedih dan lebih menyedihkan, Raisha tidak membesar normal seperti kanak-kanak lain cuma perutnya semakin membesar.

“Saya hilang arah untuk merawat Raisha, semua jenis perubatan termasuk perubatan tradisional dicuba, namun ia tidak memberi kesan terhadap penyakit itu selain menjalani pembedahan pemindahan hati.

“Kos untuk menjalani pembedahan di China sebanyak RM160,000 iaitu kos paling rendah berbanding di India dan Singapura menyebabkan kami buntu untuk mencari wang sebanyak itu bagi memastikan Raisha secepat mungkin menjalani rawatan yang sepatutnya,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di rumahnya di Taman Perumahan Gong Badak, di sini, semalam.

Menurutnya, Raisha pernah menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada usia 55 hari tetapi tidak menampakkan kesan positif dan difahamkan hanya melalui pembedahan pemindahan hati saja boleh merawatnya.

“Sehingga sekarang dengan bantuan orang ramai di samping duit simpanan, kami hanya mampu mengumpul RM30,000 dan ia belum mencukupi untuk menghantarnya ke China.

“Setiap malam saya dan suami berdoa hasrat kami mengumpul dana perubatan Raisha tertunai, kerana kami tidak mampu melihat penderitaannya,” katanya.

Menurutnya, dia berharap ada pihak yang prihatin dengan nasib yang menimpa anaknya itu dan menghulurkan bantuan untuk perbelanjaan pembedahan Raisha secepat mungkin.

Menurutnya, dia akan meneruskan usaha bagi mengumpul dana memastikan anaknya itu mendapat rawatan terbaik biarpun terpaksa bekerja lebih masa.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi keluarga berkenaan di talian 013- 9368452 atau 014 -5141512.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 9:32 AM