PEMENANG utama kategori Fesyen dan Membuat Pakaian, Nur Syazwani Zulkifli menunjukkan hasil sentuhannya.

Kuala Lumpur: Pertandingan KV Skills mampu mencungkil kemahiran bertaraf serantau Asia mahupun dunia.

Timbalan Pengarah Pengoperasian Sekolah Bahagian Pendidikan Teknik Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia Karteni Osman berkata, kejohanan KV Skills mendapat penyertaan pelajar tenaga kerja mahir daripada semua kolej vokasional (KV) kerajaan serta swasta termasuk sekolah menengah teknik (SMT) berpotensi melahirkan individu berkemahiran ber taraf ASEAN.

Ketika ditemui dalam Majlis Penutup Pertandingan KV Skills peringkat Zon Tengah Wilayah Persekutuan dan Selangor di Kolej Vokasional Sungai Buloh semalam, Karteni berkata, beliau melihat platform itu berperanan selaku pendedahan baik untuk pelajar mahupun pegawainya kepada teknologi, teknik kerja mahupun latihan terkini.

“KV Skills ini sebenarnya inisiatif Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Zalihar Abdul Ghani mahu mencetus nilai tambah dalam kalangan pelajar kolej selain memacu kumpulan tenaga mahir dalam industri bertaraf negara maju.

“Justeru KV Skills ini diharap menghidupkan kembali kompetensi dalam kalangan pelajar berdaya saing dalam kejohanan kemahiran menerusi penyertaan pihak KV dalam kejohanan ‘Tangan Emas’ pernah dianjurkan Kementerian Sumber Manusia satu ketika dulu.

“Kini kami mengambil inisiatif mewujudkan platform berlainan iaitu KV Skills dalam kalangan pelajar selain mempunyai pengiktirafan tertinggi yakni Anugerah Emas selaku perintis mewakili negara dalam bidang kemahiran peringkat ASEAN mahupun dunia,” katanya.

Pengerusi Majlis Pengarah/Pengetua KV/SMT Zon Tengah Mohd Ghazaly Haron berkata, tumpuan pihaknya, pembabitan 84 pelajar dari 16 institusi berentap dalam 14 bidang dipertandingkan di zonnya.

“Kami berharap wakil Zon Tengah dapat merangkul anugerah tertinggi, Anugerah Emas bakal berlangsung 15 hingga 19 November ini di Kolej Vokasional Sepang sekali gus membuka laluan kepada penyertaan peringkat ASEAN serta Dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 7:35 AM