DR Noor Aina (kanan) dan Dr Mohamed Mokhtar ketika Majlis Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan di Universiti Sains Malaysia.
DR Noor Aina (kanan) dan Dr Mohamed Mokhtar ketika Majlis Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan di Universiti Sains Malaysia.
Oleh Rudy Syareme Sheriffud

Georgetown: “Anugerah ini cukup bermakna dan membuatkan saya rasa dihargai selepas lebih 20 tahun mendalami ilmu Bahasa Melayu,” kata pensyarah, Profesor Madya Dr Noor Aina Dani, 56, yang dinobatkan Tokoh Anugerah Penghargaan Akademik Bahasa Melayu 2015 sempena Majlis Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Sektor Pendidikan 2015 di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, kelmarin.

Beliau yang mengajar di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) menyifatkan anugerah itu satu pengiktirafan kepadanya sebagai masyarakat Dusun berasal dari Kundasang, Sabah.

Menurutnya, kepakaran dimiliki dalam linguistik gunaan dan psikolinguistik membolehkan dia melahirkan 26 penuntut cemerlang peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Bahasa Melayu sejak mula mengajar pada tahun 1996.

“Antara bekas penuntut yang pernah dididik saya adalah Profesor Madya Dr Lim Swee Tin serta juruhebah radio Dr Jessica Ong.

“Kejayaan melahirkan ramai mahasiswa dan mahasiswi yang memiliki Doktor Falsafah adalah satu kepuasan bagi saya,” katanya.

Menurutnya, minat mendalam terhadap profesion sebagai juruhebah radio menarik perhatian beliau mendalami ilmu Bahasa Melayu selain menjadikan bekas juruhebah radio Wan Chik Daud sebagai idola.

“Sekalung penghargaan buat Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional atas anugerah yang diberikan,” katanya.

Seorang lagi penerima anugerah sama, Profesor Dr Mohamed Mokhtar Abu Hassan, 59, menyifatkan anugerah itu sebagai penghormatan cukup tinggi atas usahanya memartabatkan bidang Pengajian Kesusasteraan Melayu ke peringkat antarabangsa.

Beliau yang juga Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dan memiliki kepakaran dalam Kesusasteraan Melayu Moden melaksanakan Program Bahasa Melayu di lapan universiti di China membabitkan hampir 400 penuntut China.

“Usaha mengangkat martabat Bahasa Melayu menjadi pendorong utama selain turut membawa tiga pensyarah tempatan ke China dan merangka bidang Pengajian Kesusasteraan Melayu supaya dapat diperluaskan di Korea, Jepun dan Thailand,” katanya.

Anugerah berkenaan disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan yang mewakili Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menerusi teks ucapan dibaca Kamalanathan, Mahdzir berkata, usaha memartabat dan memperkasa Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan perpaduan mampu diperkukuhkan lagi sekiranya sokongan padu rakyat ini terus kuat, utuh dan tidak berbelah bagi.

Beliau berkata, keyakinan untuk memartabatkan Bahasa Melayu secara tidak langsung akan membuka mata masyarakat seluruh dunia untuk memelihara khazanah ilmu dan segalanya mampu digapai dengan sikap positif rakyat Malaysia selain pelbagai program pelaksanaan dari Kementerian Pendidikan dan KPT.

“Dalam mengatur aspek pendidikan termasuk usaha menyemarakkan penggunaan Bahasa Melayu, pihak kementerian sentiasa berusaha memperhebatkan lagi penggunaan bahasa berkenaan selaras dengan pelbagai program termasuk Perancangan Strategik Memartabatkan Bahasa Melayu 2016-2025,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 7:36 AM