MAYAT kanak-kanak lemas dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Oleh Nor Amalina Alias


Bachok: Mayat Muhammad Azwan Arif Azmi, 8, yang lemas ketika mandi di Pantai Irama di sini, ditemui jam 12.10 tengah hari, semalam.

Mayat mangsa ditemui anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 0.39 batu nautika dari Pantai Perupok, kira-kira tiga kilometer daripada lokasi mangsa lemas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok Asisten Superintendan Azmi Mokhtar berkata, mayat murid Sekolah Kebangsaan (SK) Buloh Poh, dekat Ketereh itu ditemui terdampar di pantai dan lengkap berpakaian oleh anggota APMM yang sedang menjalankan operasi mengesannya.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, bapa mangsa, Azmi Mohd, 54, reda dengan pemergian anak kedua daripada empat beradik berkenaan.

“Saya terima takdir ini sebagai ujian buat kami sekeluarga,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, mangsa ke pantai berkenaan jam 8 pagi bersama abangnya, Muhammad Amar Faiz, 11, dan rakannya, Muhammad Adam Haiqal Jusoh, 9, dengan kereta yang dipandu abang Adam, Muhammad Muaz, 19, dari rumah mereka di Kampung Buloh Poh, Ketereh.

Sebelum kejadian, Muhammad Muaz sempat merakam gambar mereka berempat. Mangsa dan Adam kemudiannya terus mandi sebelum mangsa lemas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 7:40 AM