Harussani (tengah) menyampaikan sumbangan RM233,000 kepada wakil Maahad Tahfiz seluruh Perak, Hasna' Ab Samad (kanan), semalam.

Ipoh: Biarpun rokok elektronik atau vape belum boleh difatwakan haram sehingga kajian menyeluruh selesai, tindakan umat Islam berbelanja ke arah perkara tidak berfaedah tetap tidak dibenarkan syarak.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata, sekalipun tidak mendatangkan kerosakan kepada kesihatan, vape dianggap tidak menepati syarak kerana memerlukan seseorang itu berbelanja atas perkara tidak berfaedah.

“Benda yang tak boleh, tak boleh lah, apa faedahnya Vape? Kalau tak ada merosakkan pun (kepada kesihatan) tetapi berbelanja atas perkara tidak berfaedah tidak dibenarkan syarak,” katanya mengulas perdebatan mengenai penggunaan vape diperkatakan ketika ini.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sempena Program Karnival Ukhwah MAIPk 2015, di sini semalam.

Program berkenaan dirasmikan Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin. Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Hussain.

Harussani berkata, penggunaan vape belum boleh dikatakan haram sekiranya kajian mengenainya belum selesai dibuat.

Menurutnya, penetapan sesuatu hukum haram itu hanya berlaku apabila ia dijelaskan hukum syarak.

Katanya, kalau sesuatu benda itu dikatakan haram, maka tidak boleh menjadi harus kecuali dalam keadaan darurat.

“Seperti racun atau sesuatu yang boleh merosakkan akal, jiwa dan agama, benda seperti itu diharamkan dalam Islam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 9:07 AM