MOHAMMAD Shahrizan (kanan) bersama Mohammad Shafi yang menghidap ketumbuhan pada tulang rahang.
Oleh Aslina Abu Bakar

Kuala Terengganu: “Dia tidak menangis atau merungut ketika menjalani rawatan kimoterapi walaupun terpaksa menelan ubat yang cukup pahit,” kata Nor Ziana Madri, 36, ibu kepada kanak-kanak penghidap kanser, Mohammad Shafi Shahrizan, 6.

Nor Ziana, 26 dari Kampung Padang Landak, Besut berkata, ketabahan anaknya itu menguatkan semangatnya dan suami, Mohammad Shahrizan Ibrahim, 38, untuk terus berikhtiar mencari ubat bagi mengubati anak keempatnya itu.

Menurutnya, Mohammad Shafi menghidap kanser “infantil fabolous sarcoma” iaitu ketumbuhan pada tulang rahang sejak setahun lalu.

“Apabila dimaklumkan doktor bahawa anak menghidap penyakit kanser saya dan suami sangat sedih tetapi kami berusaha mendapatkan rawatan.

“Alhamdulillah, sepanjang 13 kali menjalani rawatan kimoterapi, anak saya tidak menangis dan merungut sedangkan saya tahu dia menahan kesakitan,” katanya.

Dia yang juga seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasaruddin Shah, Besut berkata, ketika rawatan anaknya hanya mengalami muntah tetapi tidak merengek atau memberi sebarang masalah.

Bagi Shahrizan, anaknya tidak boleh menjalani sebarang pembedahan sebaliknya bergantung dengan ubat dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

“Anak saya hanya bergantung kepada bekalan ubat bernilai RM2,100 sebotol untuk tempoh sebulan.

“Alhamdulillah, ubat yang dia makan sebelum ini dapat memberi tindak balas yang baik tapi ketumbuhan berkenaan tidak mengecil tetapi semakin merebak hingga ke mulut dan leher,” katanya

Anak keempat daripada enam beradik itu tidak boleh menjalani pembedahan kerana ia boleh mengakibatkan bahagian rahang dibuang dan ini akan menyebabkan Mohammad Shafi tidak boleh bercakap, makan dan minum.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 10:47 AM