ANGGOTA polis mengiringi Azlee di Mahkamah Tinggi, semalam.
ANGGOTA polis mengiringi Azlee di Mahkamah Tinggi, semalam.
Oleh Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Seorang pemilik syarikat hiasan dalaman yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan Oktober lalu, dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini terhadap pertuduhan memiliki telefon bimbit yang mengandungi gambar bendera kumpulan militan Negara Islam (IS), Ogos lalu.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin menjatuhkan hukuman itu terhadap Azlee Md Salleh, 30, selepas tertuduh mengaku mengaku bersalah dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 19 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan, Azlee didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Ira, Kangar, Perlis jam 8.30 pagi, 19 Ogos lalu dan didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucuthak mana-mana bahan itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Dinesh Muthal yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan hukuman ringan atas alasan anak guamnya kesal dengan perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi lagi. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Berdasarkan fakta kes, pada awal tahun ini, Azlee mula berhubung dengan beberapa rakyat negara ini yang sedang berjuang dengan kumpulan pengganas IS di Syria termasuk Zulqarnain Ghaz.

Zulqarnain yang ditembak ketika berperang di Syria memaklumkan kepada Azlee dia (Zulqarnain) dikehendaki polis dan meminta bantuan kewangan daripada tertuduh.

Tertuduh kemudian ditangkap pada 19 Ogos lalu bersama telefon bimbitnya mengandungi gambar bendera IS.

Pada 9 Oktober lalu, Zulqarnain, 31, yang juga bekas penceramah bebas dipenjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini atas kesalahan memberi sokongan secara bersenjata terhadap perbuatan keganasan, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 4:44 AM