Perdana Menteri meluangkan masa berbual dengan doktor pakar di Hospital Shah Alam.
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


Shah Alam: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, petang semalam, meluangkan masa meninjau Hospital Shah Alam (HSA) yang bakal memulakan operasi perkhidmatan pesakit dalam, Januari depan.

Dalam status dimuat naik di laman sosial Facebook (FB) rasmi beliau, hospital berkenaan membantu mengurangkan kebergantungan serta kesesakan di hospital lain terutama Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Jelas beliau, dalam bajet tahunan yang dibentangkan beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan memastikan kebajikan pesakit terjamin terutama mereka yang menghidap penyakit kronik seperti kerosakan buah pinggang.

“Kerajaan memperuntukkan jumlah yang besar setiap tahun sebagai bantuan perubatan dan kos pembelian mesin hemodialisis di hospital kerajaan.

“Saya mengambil kesempatan untuk melawat unit hemodialisis di hospital ini (HSA) yang memanfaatkan 78 pesakit buah pinggang setiap minggu dengan 20 mesin hemodialisis baru.

“Tambahan pula, pesakit hemodialisis kini hanya perlu membayar RM13 untuk setiap sesi di mana-mana hospital kerajaan berbanding caj perkhidmatan swasta antara RM200 hingga RM250,” katanya.

Najib berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah lama menyediakan perubatan serta rawatan berkualiti pada kadar rendah untuk rakyat dan meneruskan dasar ini mengikut kemampuan kerajaan.

“Hospital kerajaan tidak mengenakan caj konsultansi kepakaran dan menetapkan kadar yang rendah untuk perubatan dan perkhidmatan lain.

“Jika dibandingkan pula dengan caj perkhidmatan swasta, kerajaan tetap prihatin dan membantu rakyat yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, pada kunjungan itu, Najib diberi penerangan mengenai perbezaan kos ubat-ubatan antara hospital swasta dan kerajaan oleh Ketua Jabatan Farmasi Pakar HSA.

Selain itu, Najib diberi penerangan kesan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar ke atas semua ubat terkawal di bawah senarai Racun Kumpulan A, B, C dan D yang diumumkan pada Bajet 2016.

Ia membabitkan peningkatan dua kali ganda iaitu daripada 4,215 kepada 8,630 jenama ubat.

Najib juga meluangkan masa berbual bersama doktor pakar di HSA .

“Sesiapa yang memerlukan perkhidmatan wad seperti wanita bersalin, caj katil hanya antara RM3 hingga RM80 satu malam di hospital kerajaan seperti Hospital Shah Alam.

“Jumlah kos hanya antara RM13 hingga RM390 di hospital kerajaan berbandin kos di hospital swasta iaitu 11 kali ganda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 10:31 AM